Monday, June 8, 2009

BI syarat wajib lulus SPM?

Isu PPSMI makin hangat diperkatakan hingga ada desas desus untuk mewajibkan pula bahasa Inggeris menjadi syarat wajib lulus Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sasterawan ulung Inggeris William Shakespeare pernah berkata: “to be or not to be, that is the question”.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, petikan pujangga itu bermain di fikiran apabila merujuk kepada sama ada bahasa Inggeris patut dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). kenyataan ini saya ambil daripada Bernama mengenai cadangan terbaru berkaitan bahasa Inggeris.
Beliau dimaklumkan bahawa ramai pelajar di luar bandar akan gagal SPM jika bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus.
“Dengan itu, saya tidak fikir ia (tidak menjadikan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib untuk lulus) memenuhi tujuan kerana bahasa Inggeris adalah bahasa yang amat penting yang kita gunakan dalam kehidupan seharian kita.
Dalam soal ini memang ada kebenarannya apabila umum sedia maklum kebanyakan pelajar luar bandar lemah penguasaan dalam bahasa Inggeris. Isu PPSMI masih belum reda timbul isu lain pula yang akan menjejaskan sistem pendidikan negara kita. Bagi saya sesuatu tindakan yang ingin dilakukan biarlah relevan dan mengambil kira semua aspek. Jangan hanya melihat dari sudut yang satu tetapi lihatlah sudut lain dan fikirkan kesannya jika ia dilaksanakan. Cukuplah kita korbankan dengan dasar PPSMI janganlah ditambah bebanan baru yang akan terus melemahkan negara kita sebenarnya. Sebabnya pelajar akan mula bosan dan kurang minat belajar terutamanya pelajar Melayu dan akhirnya kita kekurangan cerdik pandai yang memacu kemajuan negara.
Pendapat Tan Sri yang berkata, untuk meningkatkan kualiti kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, pengajaran mata pelajaran bahasa Inggeris perlu dilakukan oleh guru berkelayakan disetujui oleh saya. Idea ini lebih berkesan kerana mereka yang benar-benar layak mengajar dalam bahasa ini sahaja lebih sesuai mengajar pelajar. Mereka akan tahu bagaimana untuk berdepan dengan pelajar dan seterusnya menggunakan kepakaran sedia ada untuk menarik minat pelajar mendalami bahasa Inggeris. Ini lebih bagus daripada mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang kebanyakan gurunya sendiri kurang mahir bertutur bahasa Inggeris. Bagaimana pelajar ingin mengikutinya sedangkan kemahiran berbahasa Inggeris guru itu sendiri belum mencapai tahap yang sebenarnya.

Sunday, June 7, 2009

Stadium runtuh: sedih, memalukan

Kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang gah tiba-tiba runtuh menyembah bumi pada pagi Selasa, 2 Jun 2009, tepat jam 9.30 pagi mengemparkan negara dan suatu yang tidak dijangka.
Apapun jika sudah ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menghalanganya daripada runtuh.
Rata-rata kita semua pasti terkejut tetapi tidaklah terkejut beruk kalau ada pun hanya beberapa kerat sahaja. Mana tidaknya bangunan yang bernilai RM292 juta baru setahun siap, dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008 serta menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) XII sekelip mata bumbungnya ranap tanpa sebab yang pasti. Hendak dikatakan berlaku gempa bumi mustahil kerana Malaysia berada diluar lingkaran kawasan bencana alam seperti gunung berapi, gempa bumi dan sebagainya. Walaupun kadangkala terasa juga gegaran dari negara jiran tetapi tidaklah sampai dapat meruntuh bangunan yang berdiri kukuh.
Bagi saya hal ini perlu dibongkar dan SPRM perlu bertindak menyiasat punca berlakunya tragedi ini. Hal ini bukan gurauan tetapi perlu disiasat agar rakyat mengetahui puncanya. Rakyat ingin tahu salah siapa dan apa yang menyebabkanya runtuh semikian rupa. Nasib baik ketika kejadian tidak ada acara diadakan jika tidak pasti ratapan tangisan akan berkumandang di Terengganu. Alahai nasib-nasib macam semacam satu wabak pula. Negara lain sibuk dengan wabak penyakit negara kita sibuk wabak runtuh. Yang hendak diruntuh teruntuh sendiri yang tak nak diruntuh turut teruntuh sendiri. Macam-macam hal pelik ajaib terjadi di Malaysia sekarang ini. Cuma yang runtuh kali ini bukan durian runtuh tetapi bangunan runtuh. Apa yang terjadi mungkin disebabkan oleh perkara di bawah ini. Tidak pelik tetapi mustahil

Muktamar lulus usul PPSMI dimansuhkan

Muktamar Pas sudah berakhir dan siapa yang menerajui dan dipilih Pas juga sudah diketahui umum. Namun saya bukan ingin membincangkan soal siapa menang dan siapa kalah tetapi usul yang diluluskan dalam muktamar itu. Sebagai seorang yang terdidik dalam bahasa Melayu dan mengambil bidang linguistik Melayu dan kini masih menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang yang sama merasakan usul PPSMI dimansuhkan merupakan satu kewajaran.
Dalam muktamar tersebut ia juga sudah diluluskan. Perwakilan Pas dari Rembau, Taufik Abdul Ghani ketika membentangkan usul itu berkata parti itu membantah tindakan Kementerian pelajaran yang melengah-lengahkan tuntutan rakyat supaya PPSMI dimansuhkan. Ia turut disokong oleh Anggota Jawatankuasa kerja Pas Pusat yang baru, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Bagi saya ini satu sikap bahawa Pas memang serius untuk menentang dasar yang sebenarnya tidak menguntungkan sebaliknya merugikan kita sendiri.
Dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan ia demi meningkatkan pencapaian negara kerana bahasa Inggeris menjadi medium dalam Sains da Teknologi hanyalah sekadar cakap-cakap orang yang tidak yakin dengan bahasanya sendiri. Dalam erti kata lain tidak ada guna kita merdeka lebih 50 tahun sedangkan minda kita masih terjajah oleh puak yang berpemikiran barat. Tanpa kita sedar, bahasa Melayu ini diinjak, ditekan, dipalingkan daripada rakyatnya sendiri. Usul yang diluluskan ini menjadi titik tolak kepada penentangan PPSMI dan diharap kerajaan buka mata mereka dan mendengar suara-suara akar umbi. Jangan lagi ingin menegak benang yang basah. Fikirkan masa depan rakyat Malaysia. Bahasa Inggeris memang penting tetapi kenapa perlu dikorbankan dua mata pelajaran yang sedia susah untuk ditambah bebannya dengan mengajar dalam bahasa Inggeris.
Tidak terfikirkah mereka selama berbelas tahun belajar bahasa Inggeris dari sekolah rendah sehinggan ke universiti masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Jadi di mana silapnya sebenarnya. Apa yang patut dilakukan ialah mencari puncanya bukan mencipta masalah baru. Punca masalah belum diketemui sudah mahu mencipta masalah baru. Kenapa tidak dirombak cara pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri agar dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Jangan korbankan anak bangsa demi kepentingan politik membuta tuli. Banyak kajian sudah dijalankan yang menunjukkan implikasinya lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Usahlah mempertahankan dasar yang akan melemahkan bahasa Melayu kerana ia dikhuatiri ia akan menjadi tulisan Jawi yang seperti nyawa-nyawa ikan menunggu masa dikafankan.

Bahana bahasa singkatan dalam SMS


Zaman teknologi sekarang yang kian pesat membangun turut memberi kesan kepada manusia malah bahasa itu sendiri. Kemunculan telefon bimbit dan keadaan yang mendesak masyarakat hari ini untuk bergerak pantas turut dialami bahasa itu sendiri terutama bahasa Melayu yang cuba dibincangkan dalam penulisan ini.
Saya tertarik untuk membincangkan persoalan ini apabila ada yang bertanya kepada saya, apa akan terjadi kepada bahasa Melayu apabila sistem pesanan ringkas (SMS), budaya sembang di internet (Chatting) yang sering menggunakan singkatan dalam penulisan. Dalam soal ini semuanya terjadi seperti yang dikatakan tadi iaitu keperluan manusia untuk bergerak pantas sehingga menimbulkan gaya penulisan baru yang singkat, ringkas dan padat tanpa memikirkan nahunya, struktur ayatnya sama ada betul atau salah.
Saya ingin cuba mengaitkan persoalan ini dengan satu contoh lain yang hampir sama tetapi berbeza konteksnya. Kita ambil contoh hari ini di pasaran terdapat pelbagai makanan segera yang dijual bagi memudahkan mereka yang kesuntukan masa untuk memasak. Sebut sahaja masakan apa yang kita ingin masak pasti ada bungkusan segera atau makanan dalam tin yang disediakan untuk memudahkan kita memasaknya. Kita ambil contoh mudah, mereka yang ingin memasak ayam masak merah kini hanya boleh membeli makanan yang sudah siap dimasak. Kita hanya perlu balik ke rumah dan memanaskannya semula untuk dimakan. Mudah, ringkas dan senang dimasak tanpa perlu membeli bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ayam masak merah. Semua ini terjadi kerana keperluan mendesak untuk kita bergerak pantas seiring kepesatan dunia.
Namun cuba kita lihat, adakah sama rasanya masakan yang dipanaskan dengan masakan yang dibuat sendiri. Jawapan sudah tentu tidak sama. Masakan yang panas sudah tentu hilang rasa keasliannya. Tidak sama seperti masakan yang dimasak sendiri. Berbalik kepada soal bahasa itu tadi. Begitu juga apa yang terjadi kepada bahasa kita. Kelihatan sama tetapi berbeza dan keaslian bahasa Melayu itu telah tercemar dan mungkin akan menghilangkan jati bahasa itu sendiri.
Ragam bahasa yang singkat, rojak dan bercelaru akhirnya akan merencatkan usaha-usaha memartabatkan bahasa ini yang sudah sedia terpinggir hanya menunggu masa disingkirkan dalam kamus hidup masyarakat Melayu. Tidak mustahil suatu hari nanti wajahnya, namanya orang Melayu tetapi bahasa yang dituturkannya tidak melambangkan seperti orang Melayu. Maka apa akan terjadi kepada bahasa Melayu?. Sudah tentu bahasa Melayu hanya akan menjadi bahan kajian yang di manuskrip untuk tatapan sebagai monumen sejarah seperti bahasa terdahulu yang sudah pupus.
Penggunaan singkatan yang keterlampauan ini melahirkan apa yang dikata bahasa slanga iaitu bahasa ciptaan sendiri yang difahami oleh golongan tertentu yang menciptanya. bahasa ini hanya dituturkan golongan tersebut dan bahasa yang dicipta mengikut taraf pendidikan mereka yang berbeza-beza. Semua ini terjadi seperti yang diperkatakan dari awal lagi iaitu kita semakin bergerak pantas dan bahasa pun turut bergerak pantas sehingga mengorbankan keaslian bahasa itu.
Buktinya cukup mudah sejarah telah membuktikan, Cuba kita bandingkan bahasa dahulu dengan bahasa yang ada sekarang. Bahasa Melayu Klasik ditulis panjang berbeza dengan bahasa Melayu moden walaupun apa yang hendak disampaikannya sama. Bagaimanapun dalam konteks ini walaupun keperluan untuk kita bergerak pantas tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita menulis singkatan dalam SMS dan ketika berbual di laman sembang. Jika dahulu seawal telefon bimbit dicipta sistem pesanan ringkas hanya terhad kepada 150 patah perkataan yang memberi alasan untuk kita menulis secara ringkas tetapi kini teknologi sudah kian berkembang dan kita sudah boleh menulis lebih daripada itu.
Paling dikhuatiri penggunaan bahasa singkatan ini akhirnya akan turut diadaptasi dalam tuturan kita seharian yang akhirnya akan melemahkan bahasa Melayu yang kaya dengan nilai-nilai sasteranya.
Pakar bahasa, Prof Dr Datuk Nik Safiah Karim pernah menceritakan keadaan di Amerika Syarikat satu ketika dulu apabila seorang guru mengeluh kerana tidak memahami perkara yang ditulis pelajarnya memandangkan bahasa digunakan tidak menyerupai bahasa Inggeris biasa.
Semua yang terjadi ini akibat budaya bahasa dalam teknologi mempengaruhi pengguna komputer dan telefon bimbit sehingga lahir satu generasi yang amat gemar perhubungan melalui cara ini kerana beranggapan ia lebih cepat, ringkas dan canggih.
Sedar atau tidak sebenarnya budaya ini mengakibatkan bahasa yang buruk, ejaan tidak betul serta sifat bahasa yang terlalu ringkas sehingga melanggar kemurnian dan keaslian bahasa.
Bagaimanapun ada satu sisi lain dalam soal ini apabila satu kajian telah dilakukan oleh seorang pensyarah tempatan.
Kajian Prof Madya Dr Supyan Husin daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika itu yang dibentangkan beberapa tahun lalu beranggapan, bahasa ringkas tidak boleh menggantikan bahasa Melayu rasmi, tetapi memungkinkan komunikasi jadi lebih pantas berdasarkan beberapa kategori bahasa.
Lima kategori singkatan yang boleh diterima pakai adalah singkatan lazim, singkatan gugur vokal atau konsonan, singkatan lazim kolokial, singkatan perwakilan bunyi dan singkatan kata ganda, sementara dua kategori lagi boleh mencemar bahasa.
Cuba kita bayangkan mereka yang sering menggunakan bahasa singkatan dalam Yahoo Messenger, GoogleTalk, MSN Messenger dan sebagainya akan memberi implikasi ketika menulis esei atau karangan ketika peperiksaan. Mungkin terdapat banyak kesilapan dan kesalahan yang dilakukan akibat pengaruh budaya bahasa singkatan yang akhirnya melahirkan pelajar lemah menguasai bahasa Melayu yang benar-benar Melayu.
Dalam soal ini sama-sama lah kita renungi dan dalami kerana sedar tidak sedar kita sendiri cuba melemahkan bahasa Melayu itu sendiri.

Wednesday, May 6, 2009

Petua 8P Ustazah Siti Nurbahyah

Siti Nur Bahyah berkata,

1) P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terim! a kasih apabila diberi pertolongan.

2) Katanya, P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.

3) P seterusnya ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.

4) 'Perhatian' adalah P keempat yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan, katanya yang menulis buku Cakar Harimau - Tips Kebahagiaan Rumah Tangga, Amalan Ibu Mengandung dan Panduan Mencerdaskan Minda.

5) Siti Nur Bahyah berkata, P seterusnya mewakili 'persefahaman'

6) Menurutnya, P selanjutnya membawa maksud 'pergaulan' iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

7) Beliau berkata, satu lagi P adalah 'percutian' di mana kita perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangan di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin.

8) Katanya, P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.

Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah sama bagi mengurangkan panas baran suami.
Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.
Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggung jawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.

"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai-berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggung jawab terhadap keluarga," katanya.

"sampaikanlah pesanan yang bermanfaat walaupun 1 ayat"

Tuesday, April 28, 2009

Membaca pelopor lahir minda kelas pertama

Amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia kita kini belum mampu boleh dikatakan berada pada tahap yang membanggakan walaupun menampakkan sedikit peningkatan. Hakikatnya masih ramai di luar sana yang hanya membaca apabila ia berkepentingan dan berkeperluan untuk membaca. Sikap untuk membaca bagi mencari ilmu dan memang minat membaca rasanya masih kurang dan kalau ada pun hanya segelintir. Kebanyakan yang rajin membaca adalah golongan pelajar kerana mereka ini dimestikan membaca kerana jika tidak membaca susah untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Inilah sistem yang telah dibina dalam minda rakyat Malaysia sejak berpuluh tahun lamanya. Kesedaran membaca itu sendiri datangnya akibat berkepentingan dan bukan kerana atas kesedaran diri sendiri.
Dalam soal ini saya tertarik dengan komen yang dikemukakan oleh salah seorang panel jemputan dalam rancangan di luar lingkungan Puan Nisah Haron seorang
novelis yang mengupas isu Melarik Kelas Pertama di celah runtuhan budaya ilmu. Panel tersebut menyatakan beliau tidak beberapa setuju dengan kempen membaca pada bulan Julai yang disarankan kerajaan. Baginya adakah rakyat Malaysia hanya perlu membaca pada bulan Julai dan pada bulan lain amalan membaca ini menyepi. Pendapatnya yang dikemukakannya saya anggap memang relevan kerana seperti apa yang dikatakan tadi rakyat negara ini banyak ditentukan dengan sistem. Dalam soal ini bukan niat untuk menidakkan keberkesanan sistem itu tetapi dibimbangi jika kita hanya terlalu bergantung kepada sistem suatu hari nanti kita akan melahirkan masyarakat yang celik mindanya berdasarkan sistem tetapi apabila luar daripada sistem ia menjadi umpama masyarakat yang terkebelakang.
Apa yang penting di sini bukan semata-mata kempen amalan membaca tersebut tetapi lebih menjadi keutamaan adalah cara kita mengubah persepsi masyarakat hari daripada malas membaca kepada minat membaca. Nilai ini yang perlu ditekankan bagaimana ingin membentuk masyarakat minda kelas pertama yang dapat menjadikan membaca itu sebagai budaya. Banyak negara maju di dunia ini menjadi maju kerana amalan membaca itu dijadikan budaya mereka tetapi sebaliknya dalam situasi masyarakat negara kita pada hari ini sebaliknya kerana membaca hanya sekadar apabila berkepentingan.
Contohnya mudah, pelajar membaca dan menghafal hanya sekadar untuk lulus peperiksaan tetapi inti pati apa yang dibacanya mungkin akan lupa kembali sesudah selesai peperiksaan dan ia tidak dapat diaplikasikan dalam dunia seharian mereka kerana sejak dari mula lagi ditanam dalam pemikiran mereka membaca hanya sekadar untuk menjawab peperiksaan bukan atas kesedaran untuk mencari ilmu. Walaupun bukan semua berfikiran begitu tetapi hakikatnya ramai di luar sana mempunyai persepsi begitu. Sama ada percaya atau tidak kita sendiri boleh menilainya. Semua ini terjadi sedemikian kerana sistem yang dibentuk kita sendiri dan kita yang mengikutinya bahkan hingga ke peringkat universiti pun konsep yang sama diguna pakai maka lahirlah beribu-ribu graduan tetapi sukar menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan kerana ilmu yang dipelajari tidak dapat diaplikasikan.
Bahan penerbitan buku dalam negara kini mencecah 18,000 ribu setahun dan jualan buku terbitan dalam medium Melayu juga menampakkan peningkatan dan ini dilihat menunjukkan satu perkembangan positif tetapi persoalannya adakah buku-buku yang di pasarkan ini sampai kepada pembaca sasarannya atau hanya tertempias kepada segelintir sahaja. Ini yang perlu difikir bersama bagaimana untuk menyediakan ruang agar buku-buku yang diterbitkan ini dapat diketahui dan dibaca semua golongan.
Konsep membaca ini turut ditekankan dalam ajaran agama Islam melalui surah Al-Alaq iaitu surah ke-96 dalam Al Quran. 'Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan.'. Dalam surat tersebut Allah menekankan kepentingan membaca atau disebut Iqra. Surah Al ‘Alaq menerangkan bahawa Allah menciptakan manusia dari benda yang hina kemudian memuliakannya dengan mengajar membaca, menulis dan memberinya pengetahuan.
Cuba kita selami diri sendiri melalui ayat yang diturunkan Allah yang menyatakan betapa pentingnya membaca. Dengan membacalah kita mampu membentuk sahsiah diri yang tinggi, membaca juga menjana pemikiran menjadi minda kelas pertama dan tidak mungkin jika seseorang itu tidak membaca ia boleh melahirkan pemikiran yang bernas kecuali izin Allah yang berkehendakkannya.
Penyuburan amalan membaca ini perlu bermula dari peringkat awal bertepatan dengan surah Al-Alaq yang menyatakan setelah Allah ciptakan manusia itu ia dimuliakan dengan diajar membaca, menulis dan memberinya pengetahuan. Bagi ibu-bapa saat ini merupakan wadah terbaik untuk mendekatkan diri anak-anak dengan amalan membaca. Hanya melalui pembacaan masyarakat yang inteletual dapat dilahirkan. Negara barat walapung budaya sosialnya rosak tetapi pembudayaan membaca tetap dipertahankan mereka kerana mereka sedar tanpa pembacaan bangsa itu tidak akan ke mana-mana.
Rasululullah juga menekankan kepentingan membaca sepertimana dalam sabdanya “Sesungguhnya sekiranya engkau melangkah kaki di waktu pagi
(mahupun petang) jika ia belajar satu ayat daripada al-Quran pahalanya lebih baik daripada ibadah satu tahun”. Apakah kita masih belum sedar bahawa membaca ini bukan sekadar berkepentingan tetapi ia dituntut oleh agama Islam bagi mereka yang menganutinya. Tamadun dahulu yang membina zaman kegemilangannya terhasil semuanya itu bermula dengan membaca. Amalan membacalah maka mereka dapat membina ketamadunan yang menjadi sejarah sehingga kini. Tokoh-tokoh Islam seperti Ibn Sina, Ibnu Nafis, Al Razi, Al Khawarizmi semuanya berjaya dalam bidang masing-masing melalui amalan pembacaan yang dituntut dalam Islam. Kenyataan ini jelas melalui ayat al-Quran dalam surah Al-Zumar-ayat 9. " “Katakanlah hai Muhammad! Adakah sama kedudukan orang
berilmu dengan orang yang tidak berilmu ? Sesungguhnya orang yang sedar itu ialah orang yang berfikir”. Tokoh-tokoh yang disebutkan tadi lahir melalui pembacaan mereka maka hari ini kita dapat merasai pelbagai ilmu yang ditemui mereka dahulu. Ibnu Nafis misalnya merupakan tokoh yang menemui saluran darah dan Al-Khawarizmi perlu menemui Algebra yang diguna pakai oleh kita kini.
Negara kita tidak akan dapat mencapai kemajuan yang dimpikan seiring dengan negara maju sedia ada seperti Jepun, negara eropah jika mentaliti masyarakat kita masih belum berubah yang masih belum menyedari kepentingan membaca sebaliknya hanya membaca apabila berkepentingan. Martabat sesuatu bangsa itu akan diangkat jika masyakarakat mempunyai daya inteletual yang tinggi. Namun apakah mungkin ia akan dapat dicapai tanpa pemupukan pembacaan dalam kalangan masyarakat. Bangsanya mundur dan tidak membangung serta terus ketinggalan melambangkan daya keinteletualan mereka yang tidak mampu melahirkan pemikir-pemikir cerdik pandai dalam membangunkan negara.
Cuba kita renungi sabda Rasululullah SAW yang bermaksud “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Dari Hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa Islam menyarankan agar umatnya menuntut ilmu semenjak dari kecil lagi. Sekarang berbalik kepada situasi masyarakat kita hari ini, di mana kita sekarang, apakah cukup kita membaca sekadar untuk lulus peperiksaan atau hanya membaca apabila berkepentingan. Sekurang-kurangnya jadikanlah surat kahbar sebagai bahan bacaan kerana di dalamnya terangkum pelbagai aspek yang secara tidak langsug merangsang daya pemikiran kita. Pembacaan dan menuntut ilmu tidak terhenti setakat kita tamat pelajaran tetapi selagi diizinkan Allah untuk bernafas bacalah kerana dengan membaca sahaja masyakarat minda kelas pertama akan terjana.

Berjayakah BN rampas Selangor

Dalam satu laporan akhbar Utusan Malaysia menyatakan Petanda awal BN akan rampas semula Selangor selepas Datuk Seri Najib menjadi Pengerusi perhubungan Negeri seakan boleh dikatakan seperti biasa sebuah akhbar yang sentiasa menyediakan laporan memuji langkah yang dilaksanakan oleh Najib. Keyakinan yang disuarakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar yang menyatakan langkah itu juga membuktikan UMNO serius dalam usahanya untuk merampas kembali Selangor daripada pakatan pembangkang. Persoalannya sekarang atas kapasiti apa yang begitu yakinnya menteri ini mengeluarkan kenyataan sedemikian. Apakah atas pelantikan Najib ini BN akan berjaya merampas kembali Selangor. Apakah kriteria yang ada pada Najib yang mampu membuatkan rakyat kembali memberi kepercayaan kepada BN.
Cuma sekarang yang kelihatan gah kepada Najib hanyalah slogannya Satu Malaysia dan sikapnya yang sedia menerima kritikan selagi ia membina tetapi adakah itu sudah cukup untuk mengembalikannya keyakinan rakyat. Dalam situasi sekarang masih belum kelihatan tanda-tanda BN mampu merampas kembali Selangor yang dikira pemerintahan Pakatan Rakyat menampakkan kebaikan daripada pemerintahan terdahulu. Reputasi Najib sendiri sebelum ini masih belum cukup untuk merampas Selangor. Lihat sahajalah tanggungjawab yang diberikan ketika mengetuai pilihan raya kecil di Parlimen Kuala Terengganu nyata tidak berpihak kepadanya. Begitu juga dengan pilihan raya kecil seterusnya yang menyaksikan walaupun beliau dilantik menjadi Presiden UMNO dan seterusnya Perdana Menteri tetapi masih belum berjaya menambat hati rakyat. Tidak seperti zaman Tun Abdullah dahulu ketika beliau mula-mula memegang tampuk pemerintahan, gelombang rakyat yang menyokong beliau amat ketara kerana ketika itu beliau dianggap seorang yang bersih. Konsep yang dibawanya bukan bekerja untuk saya tetapi bekerja bersama saya akhirnya memakan diri apabila beliau yang dikerjakan. Dalam konteks keadaan sekarang gelombang yang sama diterima Tun Abdullah tidak kelihatan kepada Najib akibat beliau sendiri masih dikaitkan dengan rampasan kuasa di Perak dan kes-kes lain yang menyebabkan imej bersihnya tercalar.
Masih jauh ranjau yang perlu ditempuhi Najib untuk merampas kembali Selangor dan bagi saya takut Najib tidak termampu memikul tugas yang dipikulnya. Bukanlah maksud saya beliau tidak mampu tetapi dalam keadaan UMNO yang semakin lemah adalah lebih baik beliau menumpukan kepada tugas beliau sebagai Presiden UMNO dan lebih elok jawatan itu diserahkan kepada orang lain agar lebih mudah individu tersebut untuk merencana strategi untuk merampas kembali Selangor. Tugas Najib sebagai Perdana Menteri memerlukan komitmen yang tinggi dalam membangunkan negara dan takut nanti terjadi yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Dalam situasi Sekarang Selangor di bawah teraju Khalid masih belum menampakkan kelemahan ketara dalam pemerintahan dan inilah yang perlu disedari Najib bagaimana untuk merampas kembali Selangor. Sudah semestinya isu pembangunan yang dimainkan mereka selalu tidak akan berguna dalam perkembangan ini kerana semua sedia maklum Selangor merupakan negeri yang termaju dan pembangunan bagaimana lagi yang ingin disogokkan kepada rakyat untuk kembali kepada BN. Inilah yang perlu difikirkan mereka kerana rakyat kini bijak bernilai yang mana intan dan yang mana kaca.
Apakah tiada orang yang berkelayakan di Negeri Selangor sehingga Najib sendiri terpaksa memikul tanggungjawab tersebut. Mungkin barisan yang sedia ada tidak mampu berdepan dengan Pakatan Rakyat kerana mereka tiada ciri-ciri pemimpin yang dikehendaki Najib menyebabkannya terpaksa memikul amanah yang besar itu. Paling menyedihkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo yang mula dipinggirkan oleh pemimpinnya sendiri. Sebelum ini jawatan ini disandang oleh beliau namun selepas kegagalan beliau mempertahankan Selangor menyebabkan beliau mula dipinggirkan.
Mungkin zaman politiknya akan berakhir itu tidak dapat diketahui tetapi tanda-tanda ke arah itu mula menampakkan sinarnya. Hasrat beliau ingin menjadi Ketua Pemuda pun tidak kesampaian menyebabkan suara beliau mula kurang kedengaran tambahan pula sering diasakan Pakatan Rakyat berkaitan tingkah lakunya ketika menjadi Menteri Besar menyebabkan beliau mula dilupakan dalam UMNO. Nasibnya kini bergantung kepada Najib untuk menentukan masa depanya dan hasrat jika beliau berkeinginan untuk menjadi Menteri Besar andai kata BN berjaya merampas kembali Selangor pun mungkin tidak akan terjadi. Ini semua kerana tindakannya yang memalukan kakitangannya memberi anugerah penyapu yang akhirnya membawa rentetan apabila beliau pula dimalukan ketika Selangor dikuasai Pakatan Rakyat. Najib mungkin akan berfikir seribu kali untuk melantiknya dan jika beliau tidak tercalon sebagai calon BN pada pilihan raya akan datang itu akan menandakan isyarat kerjaya politiknya akan berakhir. Namun itu semua masih jauh untuk difikirkan dan segala keputusan di tangan Najib. Bagi Najib tanggungjawabnya kini semakin bertambah dan jika beliau alpa seketika pasti usahanya untuk merampas Selangor hanya sekadar angan-angan kosong yang pasti belum ada kesahihannya.

Kedamaian datang apabila hati tenang