Saturday, August 29, 2009

Siapa dalang isu kuil






Siapa jadi dalang dalam soal ini. Benarkah majoriti yang berarak membawa kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) bagi membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam semuanya penduduk atau ada dalang di sebalik semua itu.
Bagi Exco Selangor, Rodziah Ismail beliau mendakwa mereka yang terlibat adalah ahli UMNO dan hanya sebilangan kecil sahaja melibatkan penduduk kampung.
Jika benar ia didalangi UMNO maka mereka seolah-olah bermain dengan api dan bertindak melampaui tamadun dengan membawa kepala lembu bagi menunjukkan kejagoan yang sudah uzur menunggu dikafankan.
Sepatutnya sebagai orang yang bertamadun soal melibatkan kaum seharusnya ditangani secara berhemah menggunakan akal fikiran manusia dan bukan bertindak seperti tidak bertamadun.
Harap perkara ini diselesaikan segera kerana kita tidak mahu pergaduhan antara kaum tercetus lagi.
Lembu yang tidak bersalah pula menjadi korban tidak pasal-pasal jadi bahan tatapan orang ramai. Kalau lembu boleh bercakap sudah lama puak-upak yang menggunakannya dimaki hamun. Menyeksa haiwan walaupun sudah tidak bernyawa ditegah dalam Islam kerana ia juga makhluk ciptaan Allah.
Banyak lagi cara boleh dilakukan untuk menunjukkan cara protes dan gunakan ia sesuai dengan zaman sekarang. Jangan pula kita kembali ke belakang sedangkan kita sudah ditertawa di luar sana melihat gelagat rakyat Malaysia.

Sunday, August 23, 2009

Makna tersirat disebalik isu Syurga

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda terdapat dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum pernah aku saksi. Pertama ialah golongan penguasa ( Pemimpin) yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu digunakan untuk memukul orang (rakyat). Kedua pula ialah wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang lengguk sewaktu berjalan (sengaja menarik perhatian lelaki), menghayunkan bahu dan mendedahkan kepala mereka (dengan sanggul di atas kepala mereka seperti bonggol (goh) unta). Golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau syurga kerana sesungguhnya wangian syurga itu sudah tercium daripada yang tersangat jauh daripadanya.
Saya kemukakan hadis ini bukanlah untuk menentukan siapa yang layak masuk syurga kerana semua itu atas kehendak Allah memberi rahmat syurga kepada hambanya. Saya memetik hadis ini hanyalah sekadar untuk berkongsi dan mengingat sesama manusia dan sekadar renungan bersama setelah isu syurga neraka yang hangat diperkatakan oleh pemimpin politik ketika ini. Malah mereka yang masih tercari-cari ajaran Islam yang sebenarnya juga berani memberi pandangan seolah-olah merekalah jaguh bercakap soal agama.
Isu ini timbul setelah Nik Aziz didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ajaran Islam yang dibawa UMNO tidak akan membawa penyokongnya ke syurga. Sekali imbas bagi mereka yang berfikiran sempit memang akan melihat dari sudt ayat itu sahaja tanpa memikirkan makna mendalam di sebalik kenyataan Tuan Guru Nik Aziz.
Memang benar urusan syurga dan neraka merupakan hak Allah dan kita tidak berhak menentukan siapa yang layak masuk syurga. Nik Aziz sendiri mengakui, beliau tiada hak menentukan siapa yang layak masuk syurga. Namun Islam telah memberi panduan bagaimana hambanya boleh menuju jalan ke syurga dan kepada mereka yang ingkar kepada perintah Allah dijanjikan neraka tempatnya.
Setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh ulamak yang berjuang menegakkan syiar Islam tanpa takut kepada pemerintah yang mengabaikan ajaran Islam pasti menerima cabaran dan rintangan dicaci, dihina, dicemuh dan dianggap salah. Inilah yang dihadapi Tuan Guru ketika ini ketika menghadapi dugaan dalam menegakkan syiar Islam yang sebenar dan bukan mengikut Islam acuan barat.
Ulama dahulu lebih dasyat kerana ada yang dipenjara dan ada yang terbunuh ketika mempertahankan Islam daripada pemerintah yang zalim dan meninggalkan ajaran Islam yang sebenarnya.
Berbalik hadis yang di atas mari kita fikirkan adakah kenyataan Nik Aziz ini salah dan bercanggah dengan ajaran Islam seperti yang dikeluarkan Majlis Fatwa kerana mereka hanya mengeluarkannya berdasarkan laporan media tanpa menyelidiki sedalam-dalamnya dan mengambil kira pandangan Nik Aziz dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu Fatwa.
Mari kita renung sama-sama apakah selama ini UMNO betul-betul memperjuang Islam atau sekadar mengambil sebahagian sahaja yang nampak memberi keuntungan kepada mereka. Jika benar mereka ingin memperjuangkan Islam sudah lama hukum Islam dilaksanakan dan Undang-undang barat ciptaan manusia digantikan dengan undang Islam yang membawa kepada kesejahteraan umat Islam dan bukan sekadar bangsa Melayu tetapi seluruh umat Islam dan bukan Islam.
Islam tidak mengajar kita hanya berjuang kepada satu bangsa sahaja tetapi sebaliknya berjuang atas nama Islam yang tidak mengira pangkat, latar belakang, warna kulit dan bangsa apa. Tidak kiralah mereka Cina, India, Iban dan sebagainya selagi beragama Islam kita tetap bersaudara. Namun kini UMNO yang mendakwa memperjuangkan Islam secara nyata menidakkan ajaran itu sendiri apabila hanya berjuang untuk satu bangsa sahaja.
Soal ISA pula apakah yang dilakukan pemimpin apabila menahan mereka yang mengancam kedudukan mereka dengan menahan tanpa bicara. Kesudahan yang menjadi mangsa anak isteri hilang tempat bergantung. Lebih malang isteri yang tidak berkerja akan mengalami tekanan emosi yang langsung tidak dipeduli oleh pemimpin UMNO. Apakah tindakan mereka membela nasib isteri tahanan ISA?. Tidak ada yang tampil membela dan tidak terfikirkah kesan psikologi kepada anak-anak apabila ayah mereka ditahan dan bagaimana mereka hendak berhadapan dengan masyarakat yang pasti akan mencemuh kerana masyarakat Melayu kita terkenal dengan sikap cepat menaruh syak wasangka walaupun cerita itu belum terbukti benar.
Andai kata mereka benar bersalah dan mengancam keselamatan negara bicarakan dan bukan menahan tanpa bicara yang jelas bertentangan dengan Islam. UMNO mendakwa memperjuang Islam tetapi tanpa sedar mereka menolak Islam apabila bertindak zalim menggunakan ISA.
Jika diteliti hadis tadi kita akan ketemui jawapannya di atas kenyataan Tuan Guru Nik Aziz dan mengapa beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Kita jangan cepat melatah apabila seseorang mengeluarkan kenyataan sehingga sanggup melabelkan Nik Aziz sebagai Ulamak plastik sedangkan ulama mana yang lebih plastik apabila mendiamkan diri melihat kesalahan pemimpin yang jelas bertentangan dengan Islam. Ulama yang mengampu sebegini hanya memikirkan harta, pangkat dan dunia tanpa memikirkan tanggungjawab mereka, Ulamak yang mengampu pemerintah dan tidak berani menegur kesalahan pemerintah yang jauh menyimpang dari ajaran Islam disamakan dengan anjing. Ini jelas dalam firman Allah yang tidak pernah menyamakan mana-mana golongan dengan anjing melainkan golongan ulama yang menjual ilmunya untuk mendapat habuan dunia semata.
Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Suarah al-’Araf: 175-176).
Jika benar Ulamak yang berada dalam kerajaan menggunakan ilmunya ke jalan yang betul sudah lama negara kita akan dipenuhi dengan rakyat yang mendambakan cinta Allah sebaliknya mereka diam membisu melihat maksiat bercambah di depan mata. Jika kita lihat di televisyen pelbagai acara hiburan yang melalaikan ditayangkan hingga zaman kini sudah berubah. Kenapa ini tidak ditegur. Apakah kita lupa hiburan ini propaganda barat yang ingin melemahkan Islam. Lupakah kita dengan sejarah Perang Salib bagaimana mereka menggunakan muzik untuk menjauhkan umat Islam daripada Al-Quran yang akhirnya melemahkan kekuasaan Islam di serata dunia. Namun kini hiburan melampau inilah yang disajikan kepada rakyat Malaysia hingga ibu bapa berbangga jika anaknya menjadi artis. Menangis apabila anaknya terkeluar dalam rancangan realiti tetapi susah untuk menangis apabila melihat rakyat Palestin ditindas di bumi sendiri.
Inilah ajaran Islam yang dibawa UMNO yang hanya mementingkan soal keduniaan hingga dalam berkempen pilihan raya pun perkara yang dibangkitkan soal pembangunan, kebendaan tanpa memikirkan soal spiritual membangunkan roh Islam agar kembali kukuh. Hanya dengan cara itu sahajalah dapat menyelamat akhlak masyarakat kita yang semakin rosak akibat mengikut acuan pemerintah yang mendakwa pejuang Islam tetapi hakikatnya menolak Islam yang sebenarnya.

Sunday, August 16, 2009

Apa Jasa Pas!!!!

Apabila seorang menteri yang berkata begini “Contohnya Pas, sudah 19 tahun memerintah Kelantan, apa jadi dengan orang Melayu? Kemiskinan paling tinggi. Projek pembangunan? Kerajaan Pusat yang buat. Jalan raya? Kerajaan Pusat yang buat. Masjid? kerajaan pusat yang buat. Jadi, apa
yang mereka (Pas) buat?. Hendak ketawa dan geli hati. Percakapan ini dikeluarkan oleh seorang yang bertaraf menteri tetapi percakapannya tidak melambangkan beliau seorang menteri.
Beliau bukan sekadar menteri malah Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Mohd Shafi-e Apdal yang mempersoalkan apa yang Pas lakukan untuk memperjuangkan agama dan bangsa.
Geli hati apabila memikirkannya kerana hendak kata tidak sekolah mestilah sekolah kalau tidak takkanlah boleh menjadi menteri tetapi jawapannya macam tidak bersekolah. Bukan maksud saya hendak menghina tetapi cuba teliti balik apa yang dikatakannya. Apakah dengan sekadar membina masjid kita dikatakan sudah membela Islam. Persoalan buat apa dibina masjid jika sekadar menjadi tumpuan tatapan bukan untuk diimarahkan seperti masjid kristal. Apa yang penting ialah bukan soal bina masjid atau tidak sebab itu memang menjadi tanggungjawab pemerintah tetapi soal membangunkan rohaniah dan menyalurkan roh Islam itu yang penting.
Itu yang dilakukan kerajaan Pas di Kelantan untuk pengetahuan Pak Menteri. Itu lebih penting dari segi pembangunan material. Apa guna banguna mencakar langit, masjid disulam emas tetapi akhlak rakyatnya rosak tanpa panduan hidup kerana pemimpinnya kemaruk membina bangunan hingga terlupa hendak membina aspek rohaniah dan menyuburkan jiwa Islam kepada rakyatnya. Maka lahirlah zina, anak luar nikah, seks beban, hiburan melampau, rempit.
Sebab apa semua ini terjadi kalau bukan kerana pemimpin gila bina bangunan tanpa sedar mengabaikan tanggungjawab yang lebih penting iaitu membina sahsiah rakyatnya yang berakhlak. Jadi dalam soal ini tidak timbul Pas tidak memperjuang agama malah Pas lebih ke depan dalam soal ini. UMNO mendabik dada mengatakan mereka memperjuangkan agama tetapi apa yang mereka lakukan untuk memperjuangkan agama. Sistem tulisan Jawi siapa yang hapuskan sudah lupakah mereka. Apabila Pas Kelantan ingin laksana Hudud yang merupakan Undang-undang Islam dan bukan ciptaan siapa yang menentangnya.
Mereka hanya mengatakan memperjuangkan Islam berdasarkan kepentingan sahaja iaitu ambil sedikit-sedikit yang mana memberi keuntungan kepada parti.
Berbalik soal hukum hudud, beliau bertanya mana hukum hudud di Selangor. Pak Menteri ini tahu atau buat-buat tidak tahu atau memang tidak tahu. Negara kita ada sistem. Jikalaun kerajaan negeri meluluskan sekalipun undang Hudud sudah tentu puak ini menentang kerana Kerajaan Pusat yang berkuasa seperti berlaku kepada kerajaan negeri Kelantan sehingga sanggup hendak di bawa ke mahkamah.
Jadi fikirkanlah inikah pemimpin yang bercakap tanpa memikirkan dahulu benar atau tidak apa yang diutarakannya. Jangan nanti dikatakan bodoh sombong. Kalau tidak tahu bertanya kepada yang lebih arif bukannya bercakap tanpa ada asas yang hanya akan menampakkan kelemahan diri sendiri.
Soal kemiskinan pula sudah lupakah mereka sewaktu Pas mengambil alih Kelantan berapa banyak hutang yang terpaksa ditanggung Pas dan mereka tetap membayarnya. Apakah di negeri yang diperintah BN tidak ada kemiskinan sedangkan hakikatnya di negeri yang dterajui mereka juga masih ramai yang miskin tetapi tidak dihebahkan bagi menutup kelemahan sendiri.

Sunday, July 26, 2009

Usah ragui keikhlasan Nik Aziz

Keterbukaan Nik Aziz untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Pusat dilihat sebagai langkah utama merintis ke arah pembangunan bersama dalam memberi keselesaan kepada rakyat. Perkara ini sepatutnya sudah lama berlaku dan bukan sekarang tetapi apa pun diharapkan ia akan menguntungkan rakyat dan bukan bersifat politik untuk kepentingan parti tertentu.
Kini bukan masa untuk berpolitik tetapi masa membangunkan kesejahteraan rakyat dan langkah yang diambilkan Nik Aziz ini bertepatan dan bukannya menunjukkan kerajaan negeri lemah hingga terpaksa membuka pintu kepada Kerajaan Pusat tetapi ia merupakan kerjasama memantapkan pembangunan di negeri cik siti wan kembang ini.
Sudah lama negeri ini dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat dan inilah masanya kesepakatan dijalinkan semula. Hentikan segala perbezaan pendapat dan jangan menuding jari salah siapa kerana apa yang penting kini ialah melancarkan urusan membangunkan negeri Kelantan.
Saya tertarik dengan kenyataan Nik Aziz yang menyatakan nak bina hotel pun boleh tetapi jangan ada judi, arak, tari menari yang bercanggah dengan Islam. Bagi saya itu memang sepatutnya kerana tidak guna menyalurkan pembangunan berbilion ringgit tetapi dalam masa yang sama melaburkan maksiat kepada rakyat negeri Kelantan yang terkenal dengan serambi Mekah.
Walaupun bentuk kerjasama bagaimana yang ingin dilakukan nanti biarlah ia berteraskan perpaduan yang membangunkan masyarakat Islam tanpa ada sengketa yang menjadi punca perpecahan. Kerjasama biarlah ikhlas dan bukan bersifat politik dan mencari keuntungan parti tertentu sebaliknya segalanya yang dilakukan untuk rakyat.
Jangan nanti apabila tangan dihulurkan kaki menendang kerana ia bukan sahaja merencatkan usaha jalinan kerjasama tetapi merintis perpecahan yang lebih teruk.
Hishammuddin pula tidak payahlah meragui keikhlasan Nik Aziz kerana apa yang dilakukan beliau adalah untuk kepentingan rakyat bukan diri sendiri. Apabila orang hendak berbaik diragui pula bila tidak mahu macam-macam dikatanya. Apa yang penting buang sifat ragu itu dan fikirkan perkara yang lebih penting. Jangan ikut nafsu tetapi ikutkan akal yang diberikan untuk memilih yang mana baik dan buruk.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun sudah mengalu-alukan kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kerajaan negeri itu untuk menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat.
Diharapkan selepas ini Kelantan akan tidak dianaktirikan lagi oleh Kerajaan Pusat dan akan terus mendapat peruntukan dalam membangunkan negeri ini.
Sudah lama rakyat negeri hidup berdikari dan mereka ini lebih maju sebenarnya dari rakyat yang tinggal di negeri lain yang masih mengharapkan tongkat daripada kerajaan. Jadi fikirkanlah siapa yang lebih maju. Jangan hanya melihat dari luaran tanpa meneliti dalamannya dahulu.
Luaran nampak kaya tetapi dalamannya penuh dengan hutang. Ikutlah takrifan kaya oleh Saidina Ali yang menyatakan orang yang sebenarnya kaya adalah orang yang tidak menanggung beban hutang. cukup pakai makannya dan hati sentiasa tenang tanpa memikirkan hutang yang bertimbun.

ISA masih relevan atau tidak

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling pada awalnya. Kemudian ia dijadikan undang-undang pada tahun 1960.
Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu, ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk kepada mahkamah.
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuat kuasa di Malaysia.
Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.
Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.
Semenjak tahun 1960 apabila Akta ini dikuatkuasakan, beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad.
ISA digunakan secara konsisten terhadap mereka yang mengkritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia. Dikenali sebagai “keganasan putih” (white terror), ia amat ditakuti dan dibenci, meskipun menjadi satu alat mudah untuk negara membasmi sebarang penentangan dan debat terbuka.
Akta ini merupakan satu mekanisme pencegahan yang sangat berkesan serta masih dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam.
sumber: Wikipedia

Ulasan

1. Akta ini yang sudah lama diamalkan negara kita perlu diteliti sedalam-dalamnya keberkesanannya sama ada masih relevan lagi atau tidak.

2. Bagi saya akta ini perlu dihapuskan dan digantikan dengan akta baru yang lebih baik kerana ia zalim dan bercanggah dengan Islam.

3. Sebab apa ia bercanggah dengan Islam?. Jawapannya mudah kerana mereka yang ditahan selama 60 hari tanpa bicara walaupun masih belum terbukti mereka bersalah atau tidak.

4. Mereka yang mengaku Islam dan menyokong akta ini tanpa sedar sebenarnya mereka telah menidakkan agam Islam dengan menjadikan undang barat
sebagai pedoman untuk kepentingan sendiri.

5. Mereka yang ditahan ini telah dinafikan hak untuk bersuara mempertahankan diri mereka hingga dizalimi tanpa bicara. Adilkah kepada mereka yang tidak diberikan hak untuk mempertahankan diri. Jadi masih relevankan ISA. tepuk dada tanya selera.

6. Akta ini zalim juga kerana ia menafikan hak keluarga mangsa yang teraniaya. Ramai anak dan isteri terkontang-kanting hilang tempat pergantungan.


7. Kenapa jika tahu mereka ini bersalah tidak dibicarakan atau kerana tahu mahkamah kita ini banyak korupsi menyebabkan lebih senang ditahan tanpa bicara atau menahan mereka atas kepentingan politik sendiri.

8. Bukan rakyat sahaja yang menolak malah mantan Perdana Menteri, Pak lah sendiri turut mahu akta ini dihapuskan. Mungkin kerana beliau berlatar belakang keluarga ulama dan belajar dalam bidang pengajian agama membuka matanya bahawa ISA adalah akta zalim dan bercanggah dengan Islam.

9. Mudahkan cerita kita hari mengaku Islam, cakap pasal Islam tetapi tidak sedar minda, cara bertindak tidak melambangkan Islam sebaliknya lebih barat daripada barat.

Friday, July 24, 2009

Kurma Israel




Salam

Sekarang bulan puasa bakal menjelma.... .....berhati- hati..... ...becareful of Kurma Yahudi .. Tolong Distribute!

Bercetak jenama "Jordan River" itu sebenarnya bukan dari Jordan tetapi dihasilkan dari negara Israel ..dan diimport serta dikotakkan di Singapura tapi di edarkan di Malaysia . Ia ditanam di satu kawasan luas di bahagian timur Isreal yang bersempadan dengan Palestin. Ia dipunyai oleh seorang Yahudi yang kaya...dan ramai pekerja-pekerjanya berbangsa Yahudi dan hasil penjualan kurma itu digunakan untuk tabung orang-orang Yahudi.

Pendedahan ini dibuat oleh akhbar Berita Harian Singapura.
Para Muslimin sekalian diharap jangan membeli kurma jenis
ini..kasihanlah terhadap rakyat Palestin yang hari-hari ditindas
dan dibunuh kejam oleh rejim Yahudi ini.

Perangi Yahudi dalam apa cara sekalipun, walaupun dari segi ekonomi.

PS: saya dapat email ini dan rasa terpanggil untuk berkongsi agar kita tidak tertipu dengan muslihat Israel.

Pertembungan Pro-ISA dan Anti-ISA


Sumber: Diambil daripada Malaysiakini

Negara akan sekali lagi digemparkan dengan demonstrasi yang sudah menjadi budaya kita pada hari ini bukan sahaja dalam kalangan ahli politik malah golongan cerdik pandai juga sudah menggunakan medium ini untuk meluahkan rasa ketidakpuasan.
Terbaru dijangka pada 1 Ogos nanti demonstrasi serentak akan dijalankan. Paling menarik demonstrasi ini dipelopori dua puak yang berbeza pandangan.
Puak A menyokong ISA manakala Puak B menentang ISA.
Jika ia benar terjadi pasti akan menimbulkan huru-hara. Episod baling batu, pergaduhan, cacian dan sebagainya akan berkumandang sekali lagi.
Kita tunggu sajalah satu lagi sejarah negara Malaysia yang baru akan tercatat.
Mana tahu lepas ini boleh masuk rekod dunia negara paling banyak anjur demonstrasi.

Kedamaian datang apabila hati tenang