Monday, March 30, 2009

Anda tentukan siapa layak memimpin



Perang poster memeriahkan suasana kempen pilihan raya kecil kali ini. Sebagai pengundi anda yang menentukan siapa yang layak memimpin anda. Pilih pemimpin yang benar ingin memperjuangkan nasib bangsa, negara dan agama bukan pemimpin dambakan harta dan kekayaan. Ingatlah anda penentu segalanya.

Tahniah Azizul


Tahniah kepada Mohd Azizulhasni Awang apabila dia meraih perak pecut individu dalam Kejohanan Trek Dunia di Pruszkow, Poland. Kemenangan ini cukup untuk membuktikan atlet Malaysia mampu pergi jauh jika ada semangat juang yang tinggi. Semoga Azizul akan melakarkan kejayaaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang. Perjalanan anda baru sahaja bermula. Kembalikan semula maruah negara di persada dunia dengan memenangi lebih banyak pertandingan di masa akan datang. Tak sabar nak tengok rakyat Malaysia jadi jaguh dunia dalam dunia lumba basikal. Perkara ini tidak mustahil kerana kita mampu.

500 PKR Jerai keluar parti

Bahang kehangatan pilihan raya kecil semakin menarik dan panas apabila 500 ahli Parti Keadilan Rakyat yang diketuai Ketua Bahagian Jerai, B Kalainavar keluar PKR. Dakwa mereka PKR sudah tidak relevan lagi dan semakin retak. Soalnya benarkah parti ini sudah tidak relevan atau pengikutnya yang kecewa sebenarnya tidak relevan. Calon Barisan Nasional pula Datuk S Ganesan bersetuju dengan tindakan tersebut dan katanya BN berpeluang cerah untuk memenangi kerusi tersebut. Namun itu hanya kata-katannya sahaja. Tindakan pengikut PKR yang keluar parti tidak boleh diambil kira kerana dalam tempoh berkempen apa-apa pun boleh terjadi. Jika hari ini kita lihat calon itu akan menang tetapi apabila sampai hari bertanding apa-apa pun boleh terjadi. Tindakan mereka yang keluar parti tidak mewakili gambaran sebenar pengikut PKR. Hal ini kerana tindakan ini diambil kerana didakwa Kalaivanar dikatakan kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR dalam pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau yang bermula kelmarin.
Dalam Soal ini jika benar tindakan yang diambil kerana kecewa menunjukkan cara politik yang tidak matang. Sepatutnya dalam sesebuah parti sokongan dan kerjasama itu penting dalam memantapkan parti. Jangan ikut nafsu dan kecewa menguasai diri. Apa yang penting perjuangan membela nasib rakyat itu yang lebih penting. Soal terpilih atau tidak bukan isu pokok kerana jika tidak terpilih pun mereka masih boleh membantu. Sebagai pemimpin sikap iri hati tidak sepatutnya ada. Jangan kerana mahu mendapatkan gelaran YB kepentingan parti diabaikan. Gelaran hanya sekadar gelaran tetapi niat untuk membela nasib rakyat itu yang lebih penting. Tidak semestinya tidak bergelar YB tidak boleh berkhidmat kepada rakyat. Cuma yang membezakan hanyalah gelaran.

Bukit Selambau catat sejarah baru

Bahang kehangatan pilihan raya kecil bagi tiga kawasan iaitu Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai sudah mula terasa. Kesemua calon yang bertanding sama ada BN, Pas, PKR dan calon bebas masing-masing sudah memasang strategi bagi memikat pengundi memilih mereka. Paling menarik menyaksikan satu sejarah baru apabila tumpuan menjadi lebih ke Bukit Selambau apabila mencatat calon yang layak bertanding paling ramai. 13calon bebas yang berhasrat memenangi pilihan raya pada kali ini kerana tidak berpuas hati dengan calon PKR. Calon bebas yang bertanding pada kali ini boleh dipersoal tujuan mereka kerana hasrat mereka ini jujur mahu membela nasib rakyat atau hanya sekadar tidak puas hati dengan calon PKR. Jika niat mereka hanya ingin menunjukkan rasa tidak puas hati ini hanya akan menambah kerumitan dan akhirnya kepentingan individu menjadi keutamaaan. Agenda untuk membela rakyat tidak akan ke mana-mana kerana kepentingan sendiri lebih dominan. Mungkin ramai daripada mereka ini yang akan kehilangan wang deposit. Apa pun rakyat sekarang semakin matang memilih. Kita sama-sama tunggu kesudahan episod politik malaysia kini yang semakin celaru, merapu dan keliru.

Maruah bahasa Melayu kian tercalar

Tamadun Yunani, Rom , Parsi suatu ketika dahulu pernah mencapai zaman kegemilangan ketamadunan dalam semua aspek termasuk bidang keilmuan. Bahkan sehingga kini karya-karya tamadun Yunani masih dikaji dan diterjemahkan ke dalam beribu-ribu bahasa di dunia. Tokoh-tokoh terkenal ketika itu seperti Socrates, Aristotle dan Plato banyak memberi sumbangan dalam bidang keilmuan yang mengangkat martabat tamadun Yunani ketika itu. Sehingga kini falsafah mereka masih diguna pakai yang jelas menunjukkan pemikiran mereka melampaui sempadan dunia.
Bagaimanapun sedar atau tidak kegemilangan tamadun ini bermula dengan meneroka pelbagai bidang ilmu melalui bahasa mereka sendiri. Ini suatu fakta yang tidak dapat diubah kerana sejarah membuktikan tamadun ini berjaya kerana mereka mengagungkan bahasa sendiri. Tokoh-tokoh yang disebut tadi merupakan pemikir agung pada zaman itu yang bekarya dalam bahasa mereka sendiri dan akhirnya karya mereka diterjemahkan ke dalam bahasa lain.
Ada sesetengah bahasa tersebut masih diguna oleh masyarakat hari ini sama ada dalam ilmu sains, undang-undang, dan sebagainya. Contohnya perkataan seperti writ harbeas corpus, locus standi. ultimatum. prima facie, sine die dan banyak lagi merupakan bahasa latin atau Yunani yang digunakan dalam masyarakat pada hari ini.
Namun apa yang menyedihkan sikap segelintir pihak yang terlalu mengagungkan bahasa Inggeris yang suatu ketika dahulu masyarakat kulit putih ini pernah berada di dalam zaman yang digelar zaman kegelapan amat menyedihkan. Bahasa yang sebenarnya tidak mempunyai karya-karya agung sebaliknya banyak yang diterjemah dari bahasa latin, bahasa arab dan banyak lagi terus mendapat tempat di hati segelintir pihak yang mempunyai perasaaan ketaksuban kepada bahasa tersebut.
Dalam konteks Negara Malaysia misalnya, sikap terlalu mengagungkan bahasa penjajah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Masalah ini semakin menjadi satu wabak penyakit sehingga bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu mula diketepikan ibarat habis madu sepah dibuang. Ini realitinya dalam dunia kita sekarang yang mana bukan sahaja rakyat malah pemimpin sendiri yang meminggirkan bahasa Melayu sebaliknya lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Perkara ini bukan satu omongan kosong tetapi berlandaskan kepada realitinya masyarakat kita pada hari ini. Bukti ada di depan mata sama ada kita sedar atau tidak ataupun sedar tetapi sengaja buat tidak tahu.
Bahasa Melayu semakin terpinggir apabila dasar kerajaan yang mewajibkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris jelas menunjukkan usaha-usaha memingirkan bahasa Melayu. Perkara ini amat menyedihkan dengan alasan hanya bahasa Inggeris sahaja yang mampu mengungkapkan kedua-dua ilmu ini dengan harapan Malaysia akan bertambah maju kerana bidang teknologi ini banyak di dalam bahasa Inggeris. Apabila keadaan ini terjadi seolah-olah bahasa Melayu ini tidak mampu mengajar kedua-dua mata pelajaran tersebut dan mengambarkan bahasa ini hanya layak mengajar dalam ilmu sastera sahaja. Ini hanya fikiran mereka yang berfikiran sempit dan terlalu taksub dengan bahasa Inggeris yang kononnya hanya bahasa tersebut mampu diajar kepada dua subjek tersebut.
Mungkin mereka lupa kepada sejarah seperti kata mantan Perdana Menteri, Melayu mudah lupa. Jadi tidak boleh disalahkan mereka apabila terlupa dengan sejarah yang mengajar mereka sehingga ke tahap ini. Sejak Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan pada tahun 1970-an sehingga ke tahun-tahun awal 2000, sejumlah kira-kira 5.5 juta pelajar terdidik dalam bahasa Melayu. Malah pelajar yang diajar menggunakan bahasa Melayu ini melahirkan pakar-pakar dalam bidang masing. Dari situ lahirlah professor, pensyarah, doktor, saintis dan sebagainya yang memberi sumbangan dalam memajukan negara mengikut bidang masing-masing. Ini membuktikan kejayaan yang dicapai ini melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan tersebut dan dalam erti kata lain medium pengajaran ketika itu menggunakan bahasa Melayu bukannya bahasa Inngeris.
Hal ini sudah cukup membuktikan sebenarnya bahasa Melayu itu boleh mengungkap ilmu sains dan teknologi dan kita ketika itu dapat melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains dan teknologi mengikut acuan kita sendiri. Tidak timbul di sini soal pakar-pakar ini tidak fasih berbahasa Inggeris sebalinya mereka ini boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa itu walaupun mereka dididik menggunakan bahasa Melayu. Jadi apa rasionalnya kerajaan cuba menyatakan untuk meningkatkan bidang sains dan teknologi kita perlu menggunakan bahasa Inggeris. Adakah kita masih belum sedar perkara ini.
Cuba kita bayangkan apa akan terjadi kepada bahasa Melayu 20 tahun akan datang apabila bahasa ini mula dipinggirkan penuturnya sendiri. Tidak mustahil bahasa keempat terbesar di dunia ini dengan jumlah penutur melebihi 400,000 penutur akan pupus seperti yang terjadi kepada bahasa Hawai akibat tiada lagi yang bertutur menggunakan bahasa Melayu. Sanggupkah kita mengadaikan bahasa sendiri semata-mata ingin mengejar sesuatu yang belum pasti boleh mendatangkan kejayaan. Perkara ini mungkin dianggap remeh bagi sesetengah pihak tetapi perkara remeh ini jika dibiar merebak ia akan menjadi barah yang akhirnya akan merosakkan masyarakat itu sendiri.
Senarionya sekarang siapa yang berani menyatakan negara yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan sains dan teknologi menjadi maju. Kebanyakan negara-negara yang mengutamakan bahasa Inngeris sampai sekarang belum ada tanda-tanda menunjukkan negara itu maju. India, Filipina, Bangladesh dan sebagainya sehingga kini negara itu masih belum maju. Tidakkah ia menyedarkan kita semua bahawa bahasa Inggeris bukan penentu negara itu akan maju kerana realitinya ia bukan begitu.
Dalam soal isu bahasa ini, Prof. Emiretus Abdullah Hassan pernah mengutarakan bahawa penggunaan bahasa Inggeris ini sepatutnya hanya perlu dipelajari kepada golongan yang terlibat sahaja yang memerlukannya untuk mendapatkan maklumat. Baginya kita perlu kembali semula kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan belajar bahasa kedua hanya menurut keperluan bukan diwajibkan.
Dalam hal ini bukan bermaksud untuk tidak menidakkan kepentingan bahasa Inngeris tetapi cuma apa yang dilakukan sekarang ini oleh kerajaan dengan mewajibkan bahasa Inngeris diajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik akan meminggirkan bahasa Melayu itu sendiri. Kesan jangka panjangnya akan menyebabkan masyarakat mula memandang rendah bahasa Melayu dan suatu masa nanti bahasa ini tidak dapat mendapat tempat di hati masyarkat lagi. Lama-kelamaan bahasa ini akan terkubur dengan sendirinya.
Tanda-tanda ke arah itu sudah mula kelihatan dalam masyarakat kita pada hari ini. Kanak-kanak yang diasuh dengan acuan barat sudah mula menunjukkan sikap memandang rendah kepada bahasa Melayu. Jika tiada langkah dan kesedaran mulai dari sekarang dalam memartabatkan kembali bahasa Melayu tidak mustahil bahasa ini akan hilang begitu saja.

Sunday, March 22, 2009

Ciri pemimpin adil

Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan Allah kelak ialah para imam yang adil". (Riwayat Tarmizi)

Pemimpin yang baik dalam Islam :

1 . Islam . Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya. Ini kerana islam tidak membenarkan adanya golongan kafir yang memerintah umat islam.
2 . Adil . Sifat ini perlu dimiliki oleh pemimpin umat islam, ekoran begitu pentingnya tampuk pemerintahan yang dipegangnya itu. Ia adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak dimuka bumiNya ini. Sebagimana syarat penerimaaan syahadah dalam hukum jenayah memerlukan sifat adil ini, maka apatah lagi tugas besar memimpin umat islam.
3 . Ilmu. Golongan ulama dan umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat Islam didalam kehidupan seharian. Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.
4 . Melaksanakan hukum Allah.
5 . Bersikap sama rata dan tidak berlaku zalim.



Dalam soal ini mari kita lihat pemimpin-pemimpin yang ada dengan ciri-ciri ini di negara kita. Masih adakah pemimpin di negara kita yang mempunyai pemimpin sebegini. Jika masih ada Alhamdulillah tetapi jika sebaliknya tiada didoakan agar selepas ini lahirlah pemimpin yang mendokong perjuangan Islam dan menjadi pemimpin yang adil kepada rakyat seperti ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin.

Perwakilan yang akan memilih bakal pemimpin nanti pada Mesyuarat agung Parti UMNO nanti gunakanlah peluang ini bagi memilih pemimpin yang betul ingin berjuang kepada agama, bangsa dan negara bukannya pemimpin yang hanya mengejar jawatan, harta dan pengaruh. Ingat parti UMNO kini semakin parah dengan gejala politik wang (rasuah) yang kian membarah dalam kalangan ahlinya. Jika mereka masih memilih pemimpin yang terpalit dengan gejala ini tidak mustahil parti ini akan terus dicemuh dan tidak akan dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat. Jadikan perhimpunan pada kali ini sebagai anjakan paradigama membentuk satu kesepakatan baru membersihkan imej yang tercalar teruk. Jika sikap ego dan kronisme ini masih dipertahankan tidak mustahil PRU13 lebih banyak kekalahan menanti parti ini.

Usaha atau selesai

"Jangan lihat apa yang telah kamu usahakan, tetapi lihatlah apa yang belum kamu selesaikan"

Cuba kita renungi kata-kata di atas dan cuba kita adaptasinya dalam dunia politik kita hari ini. Banyak hari ini pemimpin kita sering mendabik dada mengatakan lihatlah segala apa yang telah mereka laksanakan untuk rakyat. Soal pembangunan dan sebagainya sering menjadi modal untuk mereka berhujah bahawa mereka telah berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat. Tetapi pernah kah pemimpin ini terdetik di dalam hati selama menjadi pemimpin apa lagi yang tertinggal dan belum diselesaikan yang mungkin terlepas pandang. Semua ini terjadi akibat ketaksuban mereka yang memikirkan segala apa yang dilakukan mereka sudah memadai sedangkan di luar sana masih ramai rakyat yang memerlukan perhatian dan masih belum selesai walapun sudah lebih 50 tahun kita merdeka. Apa yang menyayat hati masih ada segelintir masyarakat kita yang masih belum menerima kemudahan asas walaupun sesetengah pemimpin menyatakan sudah menyediakan pembangunan yang secukupnya tetapi realitinya hanya indah dari khabar kerana masih ada rakyat yang tidak menikmatinya. Masih banyak lagi perkara yang belum diselesaikan dan harus diselesaikan tetapi tidak diambil peduli kerana masing-masing memikirkan jawatan, pangkat, harta dan ingin menjadi jaguh dalam menyuarakan hak rakyat tetapi hal yang dianggap kecil ini pun masih belum mampu diselesaikan. Sekali lagi mari kita fikirkan sama-sama tidak kira pemimpin dan rakyat sudah berapa banyak perkara yang kita selesaikan.

Thursday, March 19, 2009

SPRM tidak campur tangan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan membuka kertas siasatan terhadap kes disiplin yang melibatkan ahli UMNO seperti mana hangat diperkatakan sekarang selagi ia tidak melibatkan kes jenayah rasuah. Cuba kita renungi sekali apa yang dikatakan selagi ia tidak melibatkan kes jenayah rasuah. Alasan yang pelik dan masih kabur kalau mereka yang membaca maksud SPRM itu. Bagaimana yang mahu dikatakan jenayah rasuah dengan politik wang itu. Adakah kedua-duanya berbeza atau pun sama cuma dibezakan dengan ejaannya sahaja.
Alasan yang diberikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan mudah iaitu ini soal kes disiplin melibatkan beberapa ahli politik dalam kalangan ahli UMNO dan ia masalah dalaman parti itu. Jadi mereka tidak boleh bertindak. Kita sama-sama fikirlah benarkan SPRM serius hendak menjalankan tanggungjawab membanteras rasuah. Jika mereka benar untuk membanteras rasuah tidak perlu tungu laporan kerana bukti ada di depan mata hanya perlu dibuka luas sedikit sahaja. Tetapi mungkin penulis kurang arif hal ini, Mungkin SPRM kena tunggu orang buat laporan baru boleh siasat walaupun tahu orang itu terlibat. Erm dunia sekarang macam-macam boleh berlaku. betullah tanda-tanda dunia akhir zaman. Yang salah dikatakan betul. yang betul dianggap salah.

Mansuh lembaga disiplin UMNO?

Dalam orang ramai menyatakan mengenai pemimpin yang dikaitkan dengan politik wang, tiba-tiba ada suara yang menyarankan agar dimansuhkan sahaja Lembaga Disiplin UMNO. Macam-macam sekarang ini. Isu di Perak pun belum reda, kini beralih pula kepada KM mengenai politik wang sehingga ada yang mempertikai tindakan lembaga Disiplin parti itu. Soalnya rasionalkah jawatankuasa itu dimansuhkan. Suara-suara yang mahu ia dimansuhkan meminta supaya lembaga berkenaan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO. Dahulu soal ini mansuh-memansuh ini tidak timbul tetapi apabila terkena kepada golongan tertentu perkara ini mula dibangkitkan. Apabila difikirkan balik dunia politik sekarang makin caca merba. Esok lusa apa pula yang hendak dimansuhkan. Kita sama-sama tunggu apa jadi nanti.

Letak atau tidak

Isu terbaru yang kini hangat diperkatakan menjelang pemilihan Parti UMNO ialah mengenai kes Ketua Menteri Melaka Mohd Ali yang dilarang bertanding apabila Lembaga Disiplin membuat keputusan melarang beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana didapati terlibat dengan politik wang.
Pelbagai pihak tidak kira dalam komponen BN dan pembangkang memberi pelbagai reaksi. Dari sudut lain kita dapat melihat kesungguhan parti UMNO untuk mengembalikan semula intergriti parti yang tercalar teruk sebelum ini. Dalam soal ini kita melihat Parti UMNO serius untuk membendung gejala politik wang dalam parti yang kini menjadi barah dan menunggu masa sahaja akan meletus.
Bagaimanapun soalnya di sini ketelusan untuk membanteras gejala politik wang ini benar-benar serius atau hanya bermusim menjelang pemilihan parti sahaja masih diragui. Jika benar UMNO serius untuk mengatasi wabak ini, saya rasa ini sesuatu yang bagus bagi meraihkan kembali keyakinan rakyat kepada parti ini. Namun sejauhamana keberanian membendung gejala ini masih belum kelihatan kerana tindakan ini tidak menyeluruh dan seakan-akan dilihat hanya memilih golongan tertentu sahaja.
Bagi pihak pembangkang pula, Mohd Ali perlu meletak jawatan kerana pemimpin yang terpalit dengan politik wang atau dalam kata lain rasuah harus bertanggungjawab kerana kredibilitinya sudah hilang apabila disabitkan dengan kesalahan tersebut. Dr Mahathir sendiri berpendapat Mohd Ali patut meletakkan jawatan kerana dia didapati bersalah terlibat dalam politik wang. Jadi soalnya Mohd Ali perlu meletakkan jawatan atau tidak masih menjadi persoalan. Timbalan Perdana Menteri, Najib menjelaskan Mohd Ali hanya dilarang bertanding tetapi masih kekal sebagai Ketua Menteri Melaka.
Jika diikutkan logik akal apabila seseorang pemimpin terlibat dengan skandal yang menggugat kredibilitinya seharusnya beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan yang dilakukan. Banyak pemimpin sebelum ini apabila melakukan kesalahan mereka mengambil tindakan meletak jawatan. Bukan di Malaysia sahaja malah pemimpin di dunia juga bertindak serupa bagi menjaga imej parti bukan atas kepentingan diri sendiri. Jika beliau enggan meletakkan jawatan kerana beranggapan beliau tidak bersalah masih belum kuat untuk meraih kembali kepercayaan rakyat.
Rakyat akan mempersoalkan ketelusan parti UMNO sama ada serius untuk membanteras politik wang atau sekadar angan-angan tahi ayam. Rakyat tentu akan mempersoalkan mengapa seorang pemimpin disabitkan kesalaha politik wang masih boleh menjalankan tugas sedangkan beliau bersalah. Dalam hal ini seolah-olah melihatkan UMNO menggalakkan politik wang . Hanya mengambil tindakan melarang tidak bertanding masih belum memuaskan hati rakyat kerana UMNO seperti mempertahankan pemimpin yang tercalar dek rasuah. Yang menjadi mangsa ejennya yang digantung keahlian sedangkan ketuanya hanya dikenakan tindakan larang bertanding. Rakyat tentu akan mempersoalkan atas dasar apa tindakan sedemikian diambil anak buah dikenakan tindakan ketua dilepaskan.
Mungkin UMNO masih belum lihat dari sudut ini. Jika benar mereka ingin mengembalikan kekuatan parti perkara yang dianggap remeh tidak boleh dipandang sebelah mata. Pandangan semua pihak perlu diambi kira. Rakyat kini bukan mudah diomong dengan kata-kata tanpa berlandaskan sebab musabab. Jika benar UMNO ingin kembali kuat dan mendapat kembali keyakinan rakyat kepada parti ini mereka harus ke depan dalam menanggani kemelut politik wang tanpa memilih bulu dan mengkambing hitamkan golongan tertentu bagi mencapai hasrat. Letak atau tidak jawatan Ketua Menteri terpulang pada diri beliau sendiri. Sebagai pemimpin beliau harus bertanggungjawab di atas segala tindak tanduk anak buahnya sama ada baik atau buruk.

Kedamaian datang apabila hati tenang