Tamadun Yunani, Rom , Parsi suatu ketika dahulu pernah mencapai zaman kegemilangan ketamadunan dalam semua aspek termasuk bidang keilmuan. Bahkan sehingga kini karya-karya tamadun Yunani masih dikaji dan diterjemahkan ke dalam beribu-ribu bahasa di dunia. Tokoh-tokoh terkenal ketika itu seperti Socrates, Aristotle dan Plato banyak memberi sumbangan dalam bidang keilmuan yang mengangkat martabat tamadun Yunani ketika itu. Sehingga kini falsafah mereka masih diguna pakai yang jelas menunjukkan pemikiran mereka melampaui sempadan dunia.
Bagaimanapun sedar atau tidak kegemilangan tamadun ini bermula dengan meneroka pelbagai bidang ilmu melalui bahasa mereka sendiri. Ini suatu fakta yang tidak dapat diubah kerana sejarah membuktikan tamadun ini berjaya kerana mereka mengagungkan bahasa sendiri. Tokoh-tokoh yang disebut tadi merupakan pemikir agung pada zaman itu yang bekarya dalam bahasa mereka sendiri dan akhirnya karya mereka diterjemahkan ke dalam bahasa lain.
Ada sesetengah bahasa tersebut masih diguna oleh masyarakat hari ini sama ada dalam ilmu sains, undang-undang, dan sebagainya. Contohnya perkataan seperti writ harbeas corpus, locus standi. ultimatum. prima facie, sine die dan banyak lagi merupakan bahasa latin atau Yunani yang digunakan dalam masyarakat pada hari ini.
Namun apa yang menyedihkan sikap segelintir pihak yang terlalu mengagungkan bahasa Inggeris yang suatu ketika dahulu masyarakat kulit putih ini pernah berada di dalam zaman yang digelar zaman kegelapan amat menyedihkan. Bahasa yang sebenarnya tidak mempunyai karya-karya agung sebaliknya banyak yang diterjemah dari bahasa latin, bahasa arab dan banyak lagi terus mendapat tempat di hati segelintir pihak yang mempunyai perasaaan ketaksuban kepada bahasa tersebut.
Dalam konteks Negara Malaysia misalnya, sikap terlalu mengagungkan bahasa penjajah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Masalah ini semakin menjadi satu wabak penyakit sehingga bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu mula diketepikan ibarat habis madu sepah dibuang. Ini realitinya dalam dunia kita sekarang yang mana bukan sahaja rakyat malah pemimpin sendiri yang meminggirkan bahasa Melayu sebaliknya lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Perkara ini bukan satu omongan kosong tetapi berlandaskan kepada realitinya masyarakat kita pada hari ini. Bukti ada di depan mata sama ada kita sedar atau tidak ataupun sedar tetapi sengaja buat tidak tahu.
Bahasa Melayu semakin terpinggir apabila dasar kerajaan yang mewajibkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris jelas menunjukkan usaha-usaha memingirkan bahasa Melayu. Perkara ini amat menyedihkan dengan alasan hanya bahasa Inggeris sahaja yang mampu mengungkapkan kedua-dua ilmu ini dengan harapan Malaysia akan bertambah maju kerana bidang teknologi ini banyak di dalam bahasa Inggeris. Apabila keadaan ini terjadi seolah-olah bahasa Melayu ini tidak mampu mengajar kedua-dua mata pelajaran tersebut dan mengambarkan bahasa ini hanya layak mengajar dalam ilmu sastera sahaja. Ini hanya fikiran mereka yang berfikiran sempit dan terlalu taksub dengan bahasa Inggeris yang kononnya hanya bahasa tersebut mampu diajar kepada dua subjek tersebut.
Mungkin mereka lupa kepada sejarah seperti kata mantan Perdana Menteri, Melayu mudah lupa. Jadi tidak boleh disalahkan mereka apabila terlupa dengan sejarah yang mengajar mereka sehingga ke tahap ini. Sejak Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan pada tahun 1970-an sehingga ke tahun-tahun awal 2000, sejumlah kira-kira 5.5 juta pelajar terdidik dalam bahasa Melayu. Malah pelajar yang diajar menggunakan bahasa Melayu ini melahirkan pakar-pakar dalam bidang masing. Dari situ lahirlah professor, pensyarah, doktor, saintis dan sebagainya yang memberi sumbangan dalam memajukan negara mengikut bidang masing-masing. Ini membuktikan kejayaan yang dicapai ini melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan tersebut dan dalam erti kata lain medium pengajaran ketika itu menggunakan bahasa Melayu bukannya bahasa Inngeris.
Hal ini sudah cukup membuktikan sebenarnya bahasa Melayu itu boleh mengungkap ilmu sains dan teknologi dan kita ketika itu dapat melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains dan teknologi mengikut acuan kita sendiri. Tidak timbul di sini soal pakar-pakar ini tidak fasih berbahasa Inggeris sebalinya mereka ini boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa itu walaupun mereka dididik menggunakan bahasa Melayu. Jadi apa rasionalnya kerajaan cuba menyatakan untuk meningkatkan bidang sains dan teknologi kita perlu menggunakan bahasa Inggeris. Adakah kita masih belum sedar perkara ini.
Cuba kita bayangkan apa akan terjadi kepada bahasa Melayu 20 tahun akan datang apabila bahasa ini mula dipinggirkan penuturnya sendiri. Tidak mustahil bahasa keempat terbesar di dunia ini dengan jumlah penutur melebihi 400,000 penutur akan pupus seperti yang terjadi kepada bahasa Hawai akibat tiada lagi yang bertutur menggunakan bahasa Melayu. Sanggupkah kita mengadaikan bahasa sendiri semata-mata ingin mengejar sesuatu yang belum pasti boleh mendatangkan kejayaan. Perkara ini mungkin dianggap remeh bagi sesetengah pihak tetapi perkara remeh ini jika dibiar merebak ia akan menjadi barah yang akhirnya akan merosakkan masyarakat itu sendiri.
Senarionya sekarang siapa yang berani menyatakan negara yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan sains dan teknologi menjadi maju. Kebanyakan negara-negara yang mengutamakan bahasa Inngeris sampai sekarang belum ada tanda-tanda menunjukkan negara itu maju. India, Filipina, Bangladesh dan sebagainya sehingga kini negara itu masih belum maju. Tidakkah ia menyedarkan kita semua bahawa bahasa Inggeris bukan penentu negara itu akan maju kerana realitinya ia bukan begitu.
Dalam soal isu bahasa ini, Prof. Emiretus Abdullah Hassan pernah mengutarakan bahawa penggunaan bahasa Inggeris ini sepatutnya hanya perlu dipelajari kepada golongan yang terlibat sahaja yang memerlukannya untuk mendapatkan maklumat. Baginya kita perlu kembali semula kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan belajar bahasa kedua hanya menurut keperluan bukan diwajibkan.
Dalam hal ini bukan bermaksud untuk tidak menidakkan kepentingan bahasa Inngeris tetapi cuma apa yang dilakukan sekarang ini oleh kerajaan dengan mewajibkan bahasa Inngeris diajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik akan meminggirkan bahasa Melayu itu sendiri. Kesan jangka panjangnya akan menyebabkan masyarakat mula memandang rendah bahasa Melayu dan suatu masa nanti bahasa ini tidak dapat mendapat tempat di hati masyarkat lagi. Lama-kelamaan bahasa ini akan terkubur dengan sendirinya.
Tanda-tanda ke arah itu sudah mula kelihatan dalam masyarakat kita pada hari ini. Kanak-kanak yang diasuh dengan acuan barat sudah mula menunjukkan sikap memandang rendah kepada bahasa Melayu. Jika tiada langkah dan kesedaran mulai dari sekarang dalam memartabatkan kembali bahasa Melayu tidak mustahil bahasa ini akan hilang begitu saja.
1 comment:
Assalamualaikum saudara. Terlebih dahulu, saya ingin memperkenalkan nama saya,kerana saya tidak mempunyai google account,mahupun blog. Oleh sebab itu,saya memilih identiti sebagai anonymous. Nama saya Sha. Saya telah membaca artikel saudara mengenai maruah bahasa melayu tercalar, dan saya amat bersetuju dengan pandangan bernas saudara mengenai hal itu. Martabat bahasa melayu seakan-akan tercalar, dengan wujudnya penggunaan bahasa melayu yang tidak tepat bukan sahaja oleh masyarakat bukan melayu semata-mata,malahan juga dalam kalangan masyarakat melayu sendiri. Kebanyakan anggota masyarakat di Malaysia seolah-olah lebih mengagungkan bahasa lain daripada bahasa kebangsaan negara kita sendiri. Bahasa rojak juga digunakan dengan berleluasa. Di kesempatan ini,saya ingin bertanya kepada saudara mengenai salah satu isu bahasa melayu yang agak hangat juga diperkatakan dewasa ini. Apakah pendapat saudara mengenai penggunaan bahasa melayu dalam laman bual di internet(seperti chatting,blog dan sebagainya)? Apakah impak negatif yang akan terjadi, sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang yang akan berlaku sekiranya isu panggunaan bahasa melayu yang kurang tepat,(seperti bahasa rojak dan kata singkatan) terus-menerus digunakan dalam laman bual di internet? Saya berasa amat sukacita jika dapat mendengar pandangan daripada saudara mengenai persoalan yang saya utarakan tersebut. Saya akhiri komen dan soalan saya dengan jutaan terima kasih atas kesudian saudara berkongsi maklumat yang amat berguna ini dengan kami,para pembaca. Sekian, terima kasih. Wassalam.
Post a Comment