Friday, September 11, 2009
Isa Samad calon BN?
UMNO Bahagian Telok Kemang sebulat suara mahu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa bertanding pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang. Jika desas-desus ini benar maka calon BN sudah diketahui dan ia pasti akan menimbulkan konflik baru. Kita sendiri tahu Menteri Besar sekarang dengan Mohd Isa tidak sebulu dan tidak boleh tidur sebantal kerana berbeza pandangan dan ideologi.
Mungkin pencalonan Mohd Isa ini bagi pihak pembangkang mereka akan berasa untung akibat kesilapan yang dilakukan Mohd Isa dahulu. Namun dari satu sudut yang lain semua orang tahu cara Mohd Isa bekerja. Beliau dilihat lebih mesra rakyat dan boleh duduk semeja dengan rakyat bertepuk tampar tanpa perlu protokol keterlaluan. Itu sebabnya pengaruh beliau masih kuat.
Sifatnya ini berbeza dengan Menteri Besar sekarang yang dilihat lebih mementingkan protokol. Lihat sahajalah dari segi berpakaiannya. Jarang kita dapat lihat Mohamad Hasan tidak mengenakan tali leher dan imej yang ditunjukkan seperti orang kelas atasan jauh berbeza dengan pendekatan ditunjukkan Mohd Isa. Mungkin sebab ini mereka tidak sependapat.
Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang sifat mereka tetapi apa lebih penting ialah pilihan raya kecil ini. Pilihan raya kecil yang terbaru ini dinanti-nanti semua orang untuk melihat apa kesudahannya. Pilihan raya kecil ini juga penentu sama ada BN masih bertaring atau tidak dan pembangkang semakin mendapat tempat atau kembali lemah.
Kita semua tahu DUN ini sebelum ini dimenangi BN dan agak mustahil pembangkang untuk menembusi kubu kuat BN tambahan pula jumlah undi pos yang begitu besar iaitu kira-kira 5000 daripada 14,000 pengundi yang layak mengundi menjadi penyekat kepada pembangkang untuk mencipta kemenangan.
Kebimbangan pembangang dengan undi pos kerana mereka yakin kakitangan kerajaan ini pasti akan mengundi BN kerana terdapat no siri pada kertas undi yang pasti menyebabkan mereka berbelah bahagi untuk mengundi pembangkang.
Bagaimanapun hal ini masih terlalu awal kerana calon pun masih belum diketahui kerana calon itu penting menentukan kemenangan parti mana. Andai ditakdirkan BN kalah lagi ia sudah pasti akan memberi tamparan hebat kepada mereka. Dalam suasana gelombang pembangkang yang semakin kuat BN perlu bertindak memulihkan imej mereka. Andai kata mereka masih enak diulit mimpi pasti mereka akan dihukum lagi pada pilihan raya kecil ini.
Menolak BN bukan bererti menolak pembangunan tetapi mereka sudah muak dengan karenah pemimpin yang tamah harta, pentingkan kroni dan bermegah-megah tanpa mempedulikan nasib rakyat. Bukan itu sahaja sikap mereka yang cuba mengganggu pentadbiran kerajaan negeri di bawah pembangkang juga membuka mata rakyat yang melihat parti keramat ini semakin terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali meraih kepercayaan rakyat.
Apa yang perlu dilakukan BN ialah membuang persepsi rakyat yang menganggap BN menggunakan jentera kerajaan untuk mencapai keinginan mereka. Mereka perlu membuang prasangka rakyat bahawa BN mempunyai tangan hitam dalam SPRM, polis, kehakiman dan sebagainya. Jika ini tidak dapat diselesaikan rakyat akan makin jauh kepada BN dan tidak mustahil lebih banyak episod kekalahan akan menimpa BN.
Thursday, September 10, 2009
Kartika disebat selepas Hari Raya
Selepas kes sebat yang tertangguh hingga mendapat liputan meluas akhirnya Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersedia meneruskan hukuman sebat ke atas seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengarah JAIP Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun bergantung kepada semakan Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang dijangka selesai selepas hari raya ini.
Dalam isu sebat ini pelbagai pihak memberi komen mereka sehingga ada yang simpati mengecam kartika hingga ada yang mempersoal keturunannya yang dikatakan bukan warganegara Malaysia. Semuanya hanya berdasarkan namanya sahaja. Namun keluarganya pantas menolak tohmahan itu dengan menyatakan mereka keturunan Ngah Ibrahim di Perak.
Mungkin sebatan selepas raya ini juga boleh dikatakan hadiah kepada Kartika yang menyesal dengan perbuatannya dan bersedia menerimanya. Sikapnya ini harus dipuji dan bukan dicemuh kerana ia mahu mengikut hukum yang diajar dalam Islam.
Mereka yang mempersoal hukuman itu dan minta Kartika membuat rayuan jelas mereka jahil agama dan tidak tahu keadilan di sebalik hukuman sebat itu jika benar ia dilaksanakan mengikut ketetapan yang ditetapkan dalam Islam.
Hendak menyebat orang bukannya hentam krono tetapi ada landasan yang ditetapkan dalam Islam yang mesti dipatuhi keran jika tidak si penyebat akan dianggap bertindak zalim.
Namun sedihnya di negara kita penyebat untuk golongan ini masih tidak ada tetapi undang-undangnya ada itu yang memusykilkan kita semua. Umpama bina kapal tetapi tidak ada nakhoda dan anak kapalnya. Yang ada hanya kapal sebagai tatapan umum tetapi tidak boleh digunakan kerana tidak ada yang pakar mengemudinya.
Begitu jugalah dalam soal kartika ini undang-undang ada tetapi tukang sebat masih tidak ada. Mungkin ini yang menyebabkan ia tertangguh dahulu hingga meninggalkan kesan emosi kepada Kartika.
Dari satu sisi kita dapat lihat sebenarnya undang-undang syariah di negara kita masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya dan masih banyak lubang-lubang yang perlu ditampal bagi memperkasakan undang syariah.
Lubang-lubang ini terjadi kerana pemimpin kita yang lebih mengagungkan undang-undang barat dan mengetepikan undang Islam yang hanya diberi fungsi menghukum orang melakukan maksiat, berjudi, minum arak, cerai, fasakh dan sebagainya di mana fungsinya terbatas.
Sedangkan undang Islam itu lebih adil daripada undang buatan manusia.
Cuba kita ambil contoh hukuman gantung dengan pancung. Bagi menunjukkan keadilan Islam mereka yang dihukum bunuh akan digunakan cara pancung. Bagi sesetengah orang yang tidak menyelidiki tujuan pancung itu dilakukan akan berfikir ia kejam. Tetapi hakikatnya pancung itu lebih baik kerana ia tidak menyeksa si kena hukum berbanding gantung yang jelas menyeksa mereka sebelum menemui ajal. Berbanding dengan hukuman pancung yang tidak memberi kesakitan yang dirasai mereka sebelum menemui ajal.
Namun kerana minda kita terasuh dalam acuan barat menyebabkan kita melihat undang-undang ini lebih berkesan menangani masalah jenayah. Namun hakikatnya jenayah, maksiat, gejala sosial saban hari semakin meningkat.
Kita hanya tertumpu kepada kes Kartika sahaja sedangkan di luar sana masih banyak lagi kes sama yang tidak didedahkan dan kebanyakannya anak bangsa Melayu sendiri.
Jadi kes ini diharapkan tidak akan terhenti di sini sebaliknya bongkarkan lagi mereka yang terlibat dan jangan pilih kasih dalam soal ini. Jabatan agama Islam perlu tegas menanggani masalah ini agar kita tidak dianggap penakut untuk mencegah kemungkaran. Akibat membutakan matalah ramai di luar sana yang semakin sesat dan asyik dalam dunia barat yang melemahkan Islam. Jadikan kes Kartika sebagai pengajaran dan bukan mencacinya sebaliknya berikan semangat kerana mereka yang insaf lebih mulia daripada yang berlagak baik tetapi dalamnya hancur.
Subscribe to:
Posts (Atom)