Friday, September 11, 2009
Isa Samad calon BN?
UMNO Bahagian Telok Kemang sebulat suara mahu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa bertanding pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang. Jika desas-desus ini benar maka calon BN sudah diketahui dan ia pasti akan menimbulkan konflik baru. Kita sendiri tahu Menteri Besar sekarang dengan Mohd Isa tidak sebulu dan tidak boleh tidur sebantal kerana berbeza pandangan dan ideologi.
Mungkin pencalonan Mohd Isa ini bagi pihak pembangkang mereka akan berasa untung akibat kesilapan yang dilakukan Mohd Isa dahulu. Namun dari satu sudut yang lain semua orang tahu cara Mohd Isa bekerja. Beliau dilihat lebih mesra rakyat dan boleh duduk semeja dengan rakyat bertepuk tampar tanpa perlu protokol keterlaluan. Itu sebabnya pengaruh beliau masih kuat.
Sifatnya ini berbeza dengan Menteri Besar sekarang yang dilihat lebih mementingkan protokol. Lihat sahajalah dari segi berpakaiannya. Jarang kita dapat lihat Mohamad Hasan tidak mengenakan tali leher dan imej yang ditunjukkan seperti orang kelas atasan jauh berbeza dengan pendekatan ditunjukkan Mohd Isa. Mungkin sebab ini mereka tidak sependapat.
Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang sifat mereka tetapi apa lebih penting ialah pilihan raya kecil ini. Pilihan raya kecil yang terbaru ini dinanti-nanti semua orang untuk melihat apa kesudahannya. Pilihan raya kecil ini juga penentu sama ada BN masih bertaring atau tidak dan pembangkang semakin mendapat tempat atau kembali lemah.
Kita semua tahu DUN ini sebelum ini dimenangi BN dan agak mustahil pembangkang untuk menembusi kubu kuat BN tambahan pula jumlah undi pos yang begitu besar iaitu kira-kira 5000 daripada 14,000 pengundi yang layak mengundi menjadi penyekat kepada pembangkang untuk mencipta kemenangan.
Kebimbangan pembangang dengan undi pos kerana mereka yakin kakitangan kerajaan ini pasti akan mengundi BN kerana terdapat no siri pada kertas undi yang pasti menyebabkan mereka berbelah bahagi untuk mengundi pembangkang.
Bagaimanapun hal ini masih terlalu awal kerana calon pun masih belum diketahui kerana calon itu penting menentukan kemenangan parti mana. Andai ditakdirkan BN kalah lagi ia sudah pasti akan memberi tamparan hebat kepada mereka. Dalam suasana gelombang pembangkang yang semakin kuat BN perlu bertindak memulihkan imej mereka. Andai kata mereka masih enak diulit mimpi pasti mereka akan dihukum lagi pada pilihan raya kecil ini.
Menolak BN bukan bererti menolak pembangunan tetapi mereka sudah muak dengan karenah pemimpin yang tamah harta, pentingkan kroni dan bermegah-megah tanpa mempedulikan nasib rakyat. Bukan itu sahaja sikap mereka yang cuba mengganggu pentadbiran kerajaan negeri di bawah pembangkang juga membuka mata rakyat yang melihat parti keramat ini semakin terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali meraih kepercayaan rakyat.
Apa yang perlu dilakukan BN ialah membuang persepsi rakyat yang menganggap BN menggunakan jentera kerajaan untuk mencapai keinginan mereka. Mereka perlu membuang prasangka rakyat bahawa BN mempunyai tangan hitam dalam SPRM, polis, kehakiman dan sebagainya. Jika ini tidak dapat diselesaikan rakyat akan makin jauh kepada BN dan tidak mustahil lebih banyak episod kekalahan akan menimpa BN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment