Sketsa demi sketsa yang meloyakan kini mewarnai negara kita. Satu-satu pembongkaran yang memalukan kini menjadi tatapan rakyat Malaysia. Terbaru isu yang hangat diperkatakan kini hingga menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar tempatan berkaitan enjin pesawat pemintas F-5E yang hilang bernilai RM100 juta. Bukannya seringgit tetapi melibatkan jutaan ringgit. Sesuatu yang pelik tetapi benar-benar berlaku kini membuka mata semua pihak yang menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam soal ini.
Paling memalukan seolah-olah sistem pertahanan kita begitu ampuh sehingga kecurian dua enjin ini yang berlaku pada 2007 tidak disedari dan baru terbongkar kini. Dari satu segi saya boleh katakan mereka yang melakukan perbuatan ini patut dipuji kerana kecekapan menyembunyikannya sekian lama sehingga dapat membutakan mata pihak atasan. Cuma kecekapan yang ada ini disalahgunakan ke arah yang tidak sepatutnya.Kejadian ini juga sedikit sebanyak mencalarkan imej Kementerian Pertahanan dan memberi tanggapan kurang enak apabila pelbagai pihak mengecam. Tambahan pula ketika itu menteri yang bertanggungjawab adalah Perdana Menteri sekarang.
Pembongkaran ini secara tidak langsung memberi imej tidak elok kepada Najib dalam usaha memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional. Kebocoran sistem pertahanan negara hingga terjadinya kecurian tanpa disedari semua pihak sesuatu yang amat memalukan dan mungkin akan ada suara-suara sumbang mengatakan bagaimana Najib hendak mentadbir negara sebagai pemimpin jika beliau memegang porfolio lebih kecil pun berlaku perkara yang melucukan ini. Soal kredibiliti Najib akan mula dipersoalkan seperti Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah yang dikecam hebat kerana dikatakan lemah mentadbir negara hingga memaksa beliau meletakkan jawatan.
Dalam soal ini adakah Najib juga akan mengalami nasib yang sama belum dapat dipastikan. Namun bukan pihak pembangkang sahaja yang mahu ia segera diselesaikan malah parti komponen Barisan Nasional turut mahu diselesaikan segera. Gerakan dengan lantangnya mahu mereka yang dikatakan sebagai pengkhianat negara ini ditangkap segera.
Kita begitu mudah melabelkan mereka ini sebagai pengkianat negara namun siapakah sebenar pengkhianat itu yang sanggup menjual maruah negara dengan memperjudikan nasib rakyat Malaysia. Mungkin mereka yang melakukan perkara ini tidak berfikir panjang jika berlaku peperangan apa akan terjadi kepada negara ini jika pesawat ini tidak berfungsi. Memang mudah bagi sesetengah orang mengatakan kita berada di zon yang selamat. Negara kita tidak pernah berperang. Memang benar tetapi tidak mustahil peperangan boleh berlaku bila-bila masa. Kita bukan tukang tilik yang dapat meramal apa yang akan berlaku pada masa akan datang tetapi kita dapat bersedia bagi menggelakkan sesuatu yang buruk tidak berlaku.
Menteri Pertahanan, Datuk Zaid Hamidi menyatakan kerja-kerja terkutuk ini dilakukan oleh pegawai berpangkat rendah. Jika benar ia dilakukan oleh pegawai berpangkat rendah sudah tentu kini mereka menjadi jutawan dan tidak perlu risau di hari tua kelak kerana mempunyai tabungan yang cukup hingga tidak habis makan ke anak cucu. Namun benarkah ia hanya melibatkan pegawai bawahan. Apakah mereka begitu bijak hingga dapat memperbodohkan pegawai atasan yang lebih berpendidikan tinggi daripada mereka. Atau ada pihak lain yang terlibat tetapi cuba dibutakan mata sebaliknya mengkambing hitam mereka untuk menutup kesalahan pihak lain.
Bagi memulihkan kembali imej Kementerian Pertahanan, siasatan yang telus tanpa memilih bulu harus dilakukan dengan kadar segera. Jangan hanya mula-mula sahaja berapi-api hendak menangkap mereka yang dikatakan pengkhianat negara. Namun lama-kelamaan ia diam begitu sahaja. Contoh banyak di depan mata apabila banyak kes besar yang menggemparkan negara kini sudah menjadi suam-suam suku. Mula sahaja heboh tetapi selepas sebulan siasatan entah ke mana jawapan yang ditunggu rakyat tidak kunjung tiba.
Jangan hilangkan kepercayaan rakyat lagi yang menaruh sepenuh keyakinan kepada kerajaan sedia ada. Lihat sahajalah skandal PKFZ sehingga kini masih menemui jalan buntu dan tidak tahu episod yang melukakan hati rakyat ini akan berakhir. Rakyat tidak akan marah jika wang yang digunakan bukan duit mereka. Namun mereka marah kerana wang mereka dirompak oleh orang yang dipertanggungjawabkan.
Dua kes ini jika dilenggahkan akan membawa padah kepada Barisan Nasional. Usaha Najib untuk memulihkan imej parti dan menarik semula keyakinan rakyat akan menjadi sia-sia jika kes ini juga akan senyap tanpa ada penyiasatan yang telus. Tangkap mereka yang menjadi dalang dalam kecuriaan. Tidak logik rasanya pegawai atasan atau agensi lain tidak tahu menahu langsung berlaku kecurian. Adakah mereka tidak membuat kerja sebaliknya mengharapkan sepenuhnya kepada pegawai bawahan hingga berlaku kejadian memalukan ini. Kerajaan jangan berlembut dan memberi muka lagi. Jika ia tidak diselesaikan segera tidak mustahil Pilihan raya Umum ke-13 Barisan Nasional akan kecundang. Mungkin legasi Najib akan menjadi yang terakhir memegang tampuk pemerintahan jika apa yang dimahukan rakyat tidak tertunai.
Mungkin juga kejadian yang berlaku ini disebabkan adanya unsur rasuah membuatkan enjin yang bukannya kecil dan ringan ini boleh lesap begitu sahaja hingga berjaya dibawa ke luar negara. Susah untuk kita mempercayai enjin yang besar dan berat ini boleh dibawa lari tanpa seorang pun pegawai atasan menyedarinya. Di mana mereka ketika kejadian ini berlaku ataupun mereka dibutakan oleh sesuatu pun tidak dapat dipastikan.
Usahlah malukan lagi angkatan tentera sebaliknya kembalikan kewibawaan dengan menjalankan tugas dengan amanah dan penuh rasa tanggungjawab menjaga keselamatan negara. Tahap keselamatan negara kini perlu dipertingkatkan. Ini bukannya masa saling salah menyalahkan tetapi ruang mencari jalan penyelesaian. Jangan sampai maruah negara ditertawakan negara luar yang menunggu masa untuk menggugat kestabilan negara yang akhirya akan membawa kepada kehancuran.
Jadikan musibah ini sebagai titik permulaan merangka sistem pertahanan yang baru agar dapat menggelakkan kejadian yang sama berulang. Jangan bazirkan wang rakyat lagi. Sudah banyak wang rakyat dibazirkan akibat kecuaian dan sikap tamak yang menguasai segelintir pihak. Kita mudah mengatakan pengkhianat negara tetapi pernah kita selidiki akarnya ia bepunca dari mana. Apa yang penting sekarang kita perlu mencari akarnya. Apabila ketemunya segalanya akan terungkai. Bagi saya tidak mustahil selepas ini akan muncul lagi sketsa baru tetapi watak yang sama. Sama-sama kita tunggu sketsa baru yang pasti melucukan.
No comments:
Post a Comment