Dalam satu laporan akhbar Utusan Malaysia menyatakan Petanda awal BN akan rampas semula Selangor selepas Datuk Seri Najib menjadi Pengerusi perhubungan Negeri seakan boleh dikatakan seperti biasa sebuah akhbar yang sentiasa menyediakan laporan memuji langkah yang dilaksanakan oleh Najib. Keyakinan yang disuarakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar yang menyatakan langkah itu juga membuktikan UMNO serius dalam usahanya untuk merampas kembali Selangor daripada pakatan pembangkang. Persoalannya sekarang atas kapasiti apa yang begitu yakinnya menteri ini mengeluarkan kenyataan sedemikian. Apakah atas pelantikan Najib ini BN akan berjaya merampas kembali Selangor. Apakah kriteria yang ada pada Najib yang mampu membuatkan rakyat kembali memberi kepercayaan kepada BN.
Cuma sekarang yang kelihatan gah kepada Najib hanyalah slogannya Satu Malaysia dan sikapnya yang sedia menerima kritikan selagi ia membina tetapi adakah itu sudah cukup untuk mengembalikannya keyakinan rakyat. Dalam situasi sekarang masih belum kelihatan tanda-tanda BN mampu merampas kembali Selangor yang dikira pemerintahan Pakatan Rakyat menampakkan kebaikan daripada pemerintahan terdahulu. Reputasi Najib sendiri sebelum ini masih belum cukup untuk merampas Selangor. Lihat sahajalah tanggungjawab yang diberikan ketika mengetuai pilihan raya kecil di Parlimen Kuala Terengganu nyata tidak berpihak kepadanya. Begitu juga dengan pilihan raya kecil seterusnya yang menyaksikan walaupun beliau dilantik menjadi Presiden UMNO dan seterusnya Perdana Menteri tetapi masih belum berjaya menambat hati rakyat. Tidak seperti zaman Tun Abdullah dahulu ketika beliau mula-mula memegang tampuk pemerintahan, gelombang rakyat yang menyokong beliau amat ketara kerana ketika itu beliau dianggap seorang yang bersih. Konsep yang dibawanya bukan bekerja untuk saya tetapi bekerja bersama saya akhirnya memakan diri apabila beliau yang dikerjakan. Dalam konteks keadaan sekarang gelombang yang sama diterima Tun Abdullah tidak kelihatan kepada Najib akibat beliau sendiri masih dikaitkan dengan rampasan kuasa di Perak dan kes-kes lain yang menyebabkan imej bersihnya tercalar.
Masih jauh ranjau yang perlu ditempuhi Najib untuk merampas kembali Selangor dan bagi saya takut Najib tidak termampu memikul tugas yang dipikulnya. Bukanlah maksud saya beliau tidak mampu tetapi dalam keadaan UMNO yang semakin lemah adalah lebih baik beliau menumpukan kepada tugas beliau sebagai Presiden UMNO dan lebih elok jawatan itu diserahkan kepada orang lain agar lebih mudah individu tersebut untuk merencana strategi untuk merampas kembali Selangor. Tugas Najib sebagai Perdana Menteri memerlukan komitmen yang tinggi dalam membangunkan negara dan takut nanti terjadi yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Dalam situasi Sekarang Selangor di bawah teraju Khalid masih belum menampakkan kelemahan ketara dalam pemerintahan dan inilah yang perlu disedari Najib bagaimana untuk merampas kembali Selangor. Sudah semestinya isu pembangunan yang dimainkan mereka selalu tidak akan berguna dalam perkembangan ini kerana semua sedia maklum Selangor merupakan negeri yang termaju dan pembangunan bagaimana lagi yang ingin disogokkan kepada rakyat untuk kembali kepada BN. Inilah yang perlu difikirkan mereka kerana rakyat kini bijak bernilai yang mana intan dan yang mana kaca.
Apakah tiada orang yang berkelayakan di Negeri Selangor sehingga Najib sendiri terpaksa memikul tanggungjawab tersebut. Mungkin barisan yang sedia ada tidak mampu berdepan dengan Pakatan Rakyat kerana mereka tiada ciri-ciri pemimpin yang dikehendaki Najib menyebabkannya terpaksa memikul amanah yang besar itu. Paling menyedihkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo yang mula dipinggirkan oleh pemimpinnya sendiri. Sebelum ini jawatan ini disandang oleh beliau namun selepas kegagalan beliau mempertahankan Selangor menyebabkan beliau mula dipinggirkan.
Mungkin zaman politiknya akan berakhir itu tidak dapat diketahui tetapi tanda-tanda ke arah itu mula menampakkan sinarnya. Hasrat beliau ingin menjadi Ketua Pemuda pun tidak kesampaian menyebabkan suara beliau mula kurang kedengaran tambahan pula sering diasakan Pakatan Rakyat berkaitan tingkah lakunya ketika menjadi Menteri Besar menyebabkan beliau mula dilupakan dalam UMNO. Nasibnya kini bergantung kepada Najib untuk menentukan masa depanya dan hasrat jika beliau berkeinginan untuk menjadi Menteri Besar andai kata BN berjaya merampas kembali Selangor pun mungkin tidak akan terjadi. Ini semua kerana tindakannya yang memalukan kakitangannya memberi anugerah penyapu yang akhirnya membawa rentetan apabila beliau pula dimalukan ketika Selangor dikuasai Pakatan Rakyat. Najib mungkin akan berfikir seribu kali untuk melantiknya dan jika beliau tidak tercalon sebagai calon BN pada pilihan raya akan datang itu akan menandakan isyarat kerjaya politiknya akan berakhir. Namun itu semua masih jauh untuk difikirkan dan segala keputusan di tangan Najib. Bagi Najib tanggungjawabnya kini semakin bertambah dan jika beliau alpa seketika pasti usahanya untuk merampas Selangor hanya sekadar angan-angan kosong yang pasti belum ada kesahihannya.
No comments:
Post a Comment