Jika tiada aral yang melintang Insya-Allah kita akan menerima Perdana Menteri baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengambil alih selepas Pak Lah akan meletak jawatan. Ramai pemerhati melihatkan peralihan tampuk pemerintahan ini sebagai satu dimensi baru kerana peralihan ini dilihat mampu menguatkan kembali parti Barisan Nasional khususnya dan kerajaan amnya. Gandingan Najib dan Muhyidin masih belum dapat diperkatakan lagi kerana kita masih belum melihat bagaimana mereka bekerja. Sikap Najib yang tegas seperti Dr Mahathir sedikit sebanyak mula timbul cakap-cakap orang era Mahathir akan kembali. Maka banyaklah sekatan demi sekatan akan berlaku selepas ini. Namun itu cuma cakap-cakap orang sahaja. Buktinya masih belum kelihatan kerana Najib masih belum rasmi lagi menjadi Perdana Menteri. Bagaimanapun mampukah Najib mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk bersama kerajaan sekarang. Satu hal lagi mampukah Najib membentuk barisan kepimpinannya yang bersih daripada rasuah sedangkan kenyataan Ahli Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas yang menyatakan pemegang jawatan tertinggi UMNO kini disiasat ekoran aduan berlaku amalan politik wang dua tiga hari menjelang perhimpunan agung parti. Walaupun kebenaran belum terzahir namun kenyataan ini sedikit sebanyak menggugat kredibiliti Najib untuk membentuk barisan kabinetnya yang betul bebas daripada gejala ini. Kemarahan sesetengah pihak terhadap khairy juga perlu diambil tahu Najib. Khairy yang memenangi jawatan Ketua Pemuda walaupun didapati terlibat dengan politik wang juga satu ancaman kepada parti ini. Rakyat akan menilai sejauh mana keikhlasan kepimpinan Najib untuk membanteras gejala ini sedangkan pemimpin yang dipilih terlibat dengan politik wang. Dalam soal ini Najib perlu memberi penjelasan yang relevan bagi menangkis asakan daripada pembangkang yang sudah semestinya mempersoalkanya. Jika Najib tiada jawapan yang munasabah rasanya susah parti ini untuk meraih kembali keyakinan rakyat. Tambahan pula kes-kesnya yang dikaitkan Altantuya masih kedengaran.
Tindakan Najib ke atas Perak juga masih terpalit di hati rakyat. Soalnya sekarang adakah Najib mampu menjadi PM yang baik dan mengembalikan keyakinan rakyat masih belum diketahui. Cuma sama-sama kita tunggu dan lihat sama ada era Najib akan bertahan lama atau akan terlungkup. Kemampuan Najib setakat ini masih belum memihaknya apabila sebelum ini dua pilihan raya kecil yang dikepalainya menemui kegagalan. Namun pilihan raya kecil pada kali ini menjadi pentas kepada Najib untuk membuktikan kemampuan. Andai kata Barisan Nasional menang dalam ketiga-tiga pilihan raya ini maka sedikit sebanyak menunjukka kepimpinan Najib di terima. Namun sebaliknya jika barisan Pakatan Rakyat yang menang ini menunjukkan Najib masih belum mampu mengembalikan keyakinan rakyat. Apa-apapun kembalinya keyakinan rakyat kepada kerajaan bergantung kepada Najib sekarang untuk merencananya.
No comments:
Post a Comment