Amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia kita kini belum mampu boleh dikatakan berada pada tahap yang membanggakan walaupun menampakkan sedikit peningkatan. Hakikatnya masih ramai di luar sana yang hanya membaca apabila ia berkepentingan dan berkeperluan untuk membaca. Sikap untuk membaca bagi mencari ilmu dan memang minat membaca rasanya masih kurang dan kalau ada pun hanya segelintir. Kebanyakan yang rajin membaca adalah golongan pelajar kerana mereka ini dimestikan membaca kerana jika tidak membaca susah untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Inilah sistem yang telah dibina dalam minda rakyat Malaysia sejak berpuluh tahun lamanya. Kesedaran membaca itu sendiri datangnya akibat berkepentingan dan bukan kerana atas kesedaran diri sendiri.
Dalam soal ini saya tertarik dengan komen yang dikemukakan oleh salah seorang panel jemputan dalam rancangan di luar lingkungan Puan Nisah Haron seorang
novelis yang mengupas isu Melarik Kelas Pertama di celah runtuhan budaya ilmu. Panel tersebut menyatakan beliau tidak beberapa setuju dengan kempen membaca pada bulan Julai yang disarankan kerajaan. Baginya adakah rakyat Malaysia hanya perlu membaca pada bulan Julai dan pada bulan lain amalan membaca ini menyepi. Pendapatnya yang dikemukakannya saya anggap memang relevan kerana seperti apa yang dikatakan tadi rakyat negara ini banyak ditentukan dengan sistem. Dalam soal ini bukan niat untuk menidakkan keberkesanan sistem itu tetapi dibimbangi jika kita hanya terlalu bergantung kepada sistem suatu hari nanti kita akan melahirkan masyarakat yang celik mindanya berdasarkan sistem tetapi apabila luar daripada sistem ia menjadi umpama masyarakat yang terkebelakang.
Apa yang penting di sini bukan semata-mata kempen amalan membaca tersebut tetapi lebih menjadi keutamaan adalah cara kita mengubah persepsi masyarakat hari daripada malas membaca kepada minat membaca. Nilai ini yang perlu ditekankan bagaimana ingin membentuk masyarakat minda kelas pertama yang dapat menjadikan membaca itu sebagai budaya. Banyak negara maju di dunia ini menjadi maju kerana amalan membaca itu dijadikan budaya mereka tetapi sebaliknya dalam situasi masyarakat negara kita pada hari ini sebaliknya kerana membaca hanya sekadar apabila berkepentingan.
Contohnya mudah, pelajar membaca dan menghafal hanya sekadar untuk lulus peperiksaan tetapi inti pati apa yang dibacanya mungkin akan lupa kembali sesudah selesai peperiksaan dan ia tidak dapat diaplikasikan dalam dunia seharian mereka kerana sejak dari mula lagi ditanam dalam pemikiran mereka membaca hanya sekadar untuk menjawab peperiksaan bukan atas kesedaran untuk mencari ilmu. Walaupun bukan semua berfikiran begitu tetapi hakikatnya ramai di luar sana mempunyai persepsi begitu. Sama ada percaya atau tidak kita sendiri boleh menilainya. Semua ini terjadi sedemikian kerana sistem yang dibentuk kita sendiri dan kita yang mengikutinya bahkan hingga ke peringkat universiti pun konsep yang sama diguna pakai maka lahirlah beribu-ribu graduan tetapi sukar menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan kerana ilmu yang dipelajari tidak dapat diaplikasikan.
Bahan penerbitan buku dalam negara kini mencecah 18,000 ribu setahun dan jualan buku terbitan dalam medium Melayu juga menampakkan peningkatan dan ini dilihat menunjukkan satu perkembangan positif tetapi persoalannya adakah buku-buku yang di pasarkan ini sampai kepada pembaca sasarannya atau hanya tertempias kepada segelintir sahaja. Ini yang perlu difikir bersama bagaimana untuk menyediakan ruang agar buku-buku yang diterbitkan ini dapat diketahui dan dibaca semua golongan.
Konsep membaca ini turut ditekankan dalam ajaran agama Islam melalui surah Al-Alaq iaitu surah ke-96 dalam Al Quran. 'Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan.'. Dalam surat tersebut Allah menekankan kepentingan membaca atau disebut Iqra. Surah Al ‘Alaq menerangkan bahawa Allah menciptakan manusia dari benda yang hina kemudian memuliakannya dengan mengajar membaca, menulis dan memberinya pengetahuan.
Cuba kita selami diri sendiri melalui ayat yang diturunkan Allah yang menyatakan betapa pentingnya membaca. Dengan membacalah kita mampu membentuk sahsiah diri yang tinggi, membaca juga menjana pemikiran menjadi minda kelas pertama dan tidak mungkin jika seseorang itu tidak membaca ia boleh melahirkan pemikiran yang bernas kecuali izin Allah yang berkehendakkannya.
Penyuburan amalan membaca ini perlu bermula dari peringkat awal bertepatan dengan surah Al-Alaq yang menyatakan setelah Allah ciptakan manusia itu ia dimuliakan dengan diajar membaca, menulis dan memberinya pengetahuan. Bagi ibu-bapa saat ini merupakan wadah terbaik untuk mendekatkan diri anak-anak dengan amalan membaca. Hanya melalui pembacaan masyarakat yang inteletual dapat dilahirkan. Negara barat walapung budaya sosialnya rosak tetapi pembudayaan membaca tetap dipertahankan mereka kerana mereka sedar tanpa pembacaan bangsa itu tidak akan ke mana-mana.
Rasululullah juga menekankan kepentingan membaca sepertimana dalam sabdanya “Sesungguhnya sekiranya engkau melangkah kaki di waktu pagi
(mahupun petang) jika ia belajar satu ayat daripada al-Quran pahalanya lebih baik daripada ibadah satu tahun”. Apakah kita masih belum sedar bahawa membaca ini bukan sekadar berkepentingan tetapi ia dituntut oleh agama Islam bagi mereka yang menganutinya. Tamadun dahulu yang membina zaman kegemilangannya terhasil semuanya itu bermula dengan membaca. Amalan membacalah maka mereka dapat membina ketamadunan yang menjadi sejarah sehingga kini. Tokoh-tokoh Islam seperti Ibn Sina, Ibnu Nafis, Al Razi, Al Khawarizmi semuanya berjaya dalam bidang masing-masing melalui amalan pembacaan yang dituntut dalam Islam. Kenyataan ini jelas melalui ayat al-Quran dalam surah Al-Zumar-ayat 9. " “Katakanlah hai Muhammad! Adakah sama kedudukan orang
berilmu dengan orang yang tidak berilmu ? Sesungguhnya orang yang sedar itu ialah orang yang berfikir”. Tokoh-tokoh yang disebutkan tadi lahir melalui pembacaan mereka maka hari ini kita dapat merasai pelbagai ilmu yang ditemui mereka dahulu. Ibnu Nafis misalnya merupakan tokoh yang menemui saluran darah dan Al-Khawarizmi perlu menemui Algebra yang diguna pakai oleh kita kini.
Negara kita tidak akan dapat mencapai kemajuan yang dimpikan seiring dengan negara maju sedia ada seperti Jepun, negara eropah jika mentaliti masyarakat kita masih belum berubah yang masih belum menyedari kepentingan membaca sebaliknya hanya membaca apabila berkepentingan. Martabat sesuatu bangsa itu akan diangkat jika masyakarakat mempunyai daya inteletual yang tinggi. Namun apakah mungkin ia akan dapat dicapai tanpa pemupukan pembacaan dalam kalangan masyarakat. Bangsanya mundur dan tidak membangung serta terus ketinggalan melambangkan daya keinteletualan mereka yang tidak mampu melahirkan pemikir-pemikir cerdik pandai dalam membangunkan negara.
Cuba kita renungi sabda Rasululullah SAW yang bermaksud “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Dari Hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa Islam menyarankan agar umatnya menuntut ilmu semenjak dari kecil lagi. Sekarang berbalik kepada situasi masyarakat kita hari ini, di mana kita sekarang, apakah cukup kita membaca sekadar untuk lulus peperiksaan atau hanya membaca apabila berkepentingan. Sekurang-kurangnya jadikanlah surat kahbar sebagai bahan bacaan kerana di dalamnya terangkum pelbagai aspek yang secara tidak langsug merangsang daya pemikiran kita. Pembacaan dan menuntut ilmu tidak terhenti setakat kita tamat pelajaran tetapi selagi diizinkan Allah untuk bernafas bacalah kerana dengan membaca sahaja masyakarat minda kelas pertama akan terjana.
1 comment:
bagus entri nie..mari kita sama-sama membaca..huuuuuuu
Post a Comment