Tepat tekaan saya orang yang pasti tidak gembira dengan keputusan PPSMI dihapuskan ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak gembira dengan keputusan dibuat oleh kerajaan.
Beliau menyifatkan keputusan itu akan menyukarkan anak-anak untuk mempelajari dan mengetahui perkembangan sains pada masa depan.
Beliau juga menyatakan kesedihan kerana anak-anak akan menjadi dasar akibat keputusan kerajaan ini. Saya tidak terkejut dengan kenyataan beliau itu kerana idea PPSMI ini disokong olehnya. Siapa pun apabila idea yang dikemukakannya apabila ditolak akan terasa hati. Dalam soal ini saya memahami perasaan yang dialami oleh Tun Mahathir ketika ini.
Namun bagi saya lebih baik hanya seorang yang bersedih daripada membiarkan jutaan lagi bersedih jika dasar ini diteruskan.
Penghapusan dasar ini tidak merencatkan usaha perkembangan sains dan teknologi. Sebelum ini pun kita melahirkan ramai graduan yang berjaya dalam kedua-dua bidang ini yang terdidik dalam bahasa Melayu. Jadi tidak timbul anak-anak akan menjadi mangsa dan menyukarkan mereka mempelajarinya.
Jepun misalnya adakah mereka ini ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi sedangkan hakikatnya kita semua tahu bahasa Inggeris di sana tidak diangkat setinggi rupa seperti di negara kita. Tetapi mengapa mereka ke depan dalam bidang ini. Jawapannya kerana mereka sayangkan bahasa sendiri.
Mereka menghantar rakyatnya belajar di luar negara dan kutip segala ilmu di sana dan kembali ke negara asal dan menterjemahkan ke dalam bahasa sendiri dan rakyatnya dapat menikmati hasilnya. Apakah mereka ketinggalan dalam bidang ini. Jawapannya tentu tidak bahkan boleh dikatakan negara ini lebih ke depan berbanding negara barat yang menggunakan bahasa Inggeris.
Berbalik pula dengan rakyat di negara kita. Berapa ramai rakyat negara kita yang mendapat peluang belajar di luar negara akhirnya tidak pulang ke Malaysia menabur bakti tetapi lebih suka memilih untuk bekerja di sana. Jadi usaha untuk menterjemahkan ilmu itu ke dalam bahasa kita terbantut. Hal ini yang perlu dipandang serius oleh kerajaan pada masa kini bagaimana untuk menarik golongan yang berasa diri mereka orang barat untuk pulang dan menabur bakti kepada negara sendiri. Apa yang saya katakan ini bukan semua tetapi segelintir yang mindanya sudah terasuh dengan budaya barat sehinggakan apabila pulang ke Malaysia bahasa ibunda sendiri sudah tidak fasih tetapi mengaku Melayu.
Kepada Tun usahlah sedih kerana sains dan teknologi tidak akan mundur dinegara kita malah akan melahirkan berkali ganda ahli sains bijak pandai yang terasuh dalam bahasa Melayu yang seterusnya bahasa ini akan menjadi bahasa penting di dunia. Insya-Allah hasrat ini tidak mustahil akan berlaku kerana kini di serata dunia bahasa Melayu sudah mendapat tempat di Institusi pengajian tinggi. Tidak keterlaluan juga dikatakan nanti kita dapat bertutur bahasa Melayu apabila pergi ke Peranchis, German, Rusia, China dan sebagainya kerana di negara ini rakyatnya sudah ramai yang mempelajari bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment