Keterbukaan Nik Aziz untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Pusat dilihat sebagai langkah utama merintis ke arah pembangunan bersama dalam memberi keselesaan kepada rakyat. Perkara ini sepatutnya sudah lama berlaku dan bukan sekarang tetapi apa pun diharapkan ia akan menguntungkan rakyat dan bukan bersifat politik untuk kepentingan parti tertentu.
Kini bukan masa untuk berpolitik tetapi masa membangunkan kesejahteraan rakyat dan langkah yang diambilkan Nik Aziz ini bertepatan dan bukannya menunjukkan kerajaan negeri lemah hingga terpaksa membuka pintu kepada Kerajaan Pusat tetapi ia merupakan kerjasama memantapkan pembangunan di negeri cik siti wan kembang ini.
Sudah lama negeri ini dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat dan inilah masanya kesepakatan dijalinkan semula. Hentikan segala perbezaan pendapat dan jangan menuding jari salah siapa kerana apa yang penting kini ialah melancarkan urusan membangunkan negeri Kelantan.
Saya tertarik dengan kenyataan Nik Aziz yang menyatakan nak bina hotel pun boleh tetapi jangan ada judi, arak, tari menari yang bercanggah dengan Islam. Bagi saya itu memang sepatutnya kerana tidak guna menyalurkan pembangunan berbilion ringgit tetapi dalam masa yang sama melaburkan maksiat kepada rakyat negeri Kelantan yang terkenal dengan serambi Mekah.
Walaupun bentuk kerjasama bagaimana yang ingin dilakukan nanti biarlah ia berteraskan perpaduan yang membangunkan masyarakat Islam tanpa ada sengketa yang menjadi punca perpecahan. Kerjasama biarlah ikhlas dan bukan bersifat politik dan mencari keuntungan parti tertentu sebaliknya segalanya yang dilakukan untuk rakyat.
Jangan nanti apabila tangan dihulurkan kaki menendang kerana ia bukan sahaja merencatkan usaha jalinan kerjasama tetapi merintis perpecahan yang lebih teruk.
Hishammuddin pula tidak payahlah meragui keikhlasan Nik Aziz kerana apa yang dilakukan beliau adalah untuk kepentingan rakyat bukan diri sendiri. Apabila orang hendak berbaik diragui pula bila tidak mahu macam-macam dikatanya. Apa yang penting buang sifat ragu itu dan fikirkan perkara yang lebih penting. Jangan ikut nafsu tetapi ikutkan akal yang diberikan untuk memilih yang mana baik dan buruk.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun sudah mengalu-alukan kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kerajaan negeri itu untuk menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat.
Diharapkan selepas ini Kelantan akan tidak dianaktirikan lagi oleh Kerajaan Pusat dan akan terus mendapat peruntukan dalam membangunkan negeri ini.
Sudah lama rakyat negeri hidup berdikari dan mereka ini lebih maju sebenarnya dari rakyat yang tinggal di negeri lain yang masih mengharapkan tongkat daripada kerajaan. Jadi fikirkanlah siapa yang lebih maju. Jangan hanya melihat dari luaran tanpa meneliti dalamannya dahulu.
Luaran nampak kaya tetapi dalamannya penuh dengan hutang. Ikutlah takrifan kaya oleh Saidina Ali yang menyatakan orang yang sebenarnya kaya adalah orang yang tidak menanggung beban hutang. cukup pakai makannya dan hati sentiasa tenang tanpa memikirkan hutang yang bertimbun.
No comments:
Post a Comment