Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan sepenuhnya menjelang 2012 pasti memberi khabar gembira kepada pencinta bahasa Melayu terutama ahli bahasa selama ini yang berjuang bertungkus lumus membantah dasar kontroversi yang menimbul kemarahan sebilangan besar pencinta bahasa Melayu yang kian tenggelam di bumi sendiri.
Bagaimanapun keputusan itu juga sedikit kurang enak kerana ia mengambil masa tiga tahun untuk dihapuskan dasar ini.
Persoalannya mengapa ia mengambil masa yang agak lama untuk dihapuskan tidak seperti ketika ia mula diajar di sekolah dengan mengarahkan guru-guru pergi berkursus. Soalnya mengapa perlu tiga tahun. Tidak terfikirkan tiga tahun itu akan menyebabkan bahasa Melayu tidak akan dapat berkembang dengan pesat.
Dari satu sisi saya anggap keputusan ini cukup melegakan kerana akhirnya telinga kerajaan yang dipekakkan sudah kembali jelas kedengaran. Mereka sudah mula dengar suara-suara berkata 'Hapuskan PPSMI' dan muktamadnya kerajaan mendengarnya serta ia memutuskan dasar ini akan berkubur pada 2012.
Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.
Apapun tahniah kepada kerajaan kerana sudi mendengar hasrat rakyat yang cintakan bahasa dan mendaulatkan bahasa Melayu selaras dengan perlembagaan yang mengangkat martabat bahasa Melayu di tempat yang tinggi.
Diharapkan ia akan terus kekal dan selepas ini jangan lagi timbul isu untuk mengembalikan semula dasar ini. Apa yang penting sekarang subjek bahasa Inggeris itu yang perlu dipertingkatkan. Pakar-pakar dalam bidang ini perlu mencari formula terbaik membuatkan pelajar minat dan mudah mempelajari bahasa Inggeris. Bagi saya sukatan yang ada sekarang masih belum berkesan terutama kepada pelajar luar bandar yang ratanya tidak berminat dengan mata pelajaran bahasa Inggeris. Mereka perlu mencari puncanya dan rungkaikan punca itu untuk menjadikan bahasa Inggeris medium percakapan kedua rakyat Malaysia di samping bahasa Melayu tidak dipinggirkan di negara sendiri.
Apapun pasti yang paling sedih mendengar khabar ini sudah tentu Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beliau yang bertanggungjawab memperkenalkan dasar ini dan bersungguh-sungguh mempertahankannya walaupun ramai yang membantah.
No comments:
Post a Comment