Wednesday, July 15, 2009

Penyatuan atasi kelemahan Melayu

Hasrat Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang mahu melihat orang Melayu kembali bersatu dalam membina semangat serumpun bangsa dan sealiran agama perlu difikirkan secara serius oleh semua pihak. Saranan yang dikemukakan Baginda bukan sekadar untuk didengar sahaja tetapi perlu diambil tindakan merintis jalan ke arah pembentukan bangsa Melayu yang bersatu seperti dijelmakan ketika menentang Malayan Union.
Kerisauan baginda dengan sikap bangsa kita pada hari yang terlalu berpegang kepada prinsip assabiyah iaitu terlalu takjub kepada individu tertentu atau melafazkan kesetiaan kepada kumpulan tanpa memikirkan perpaduan ummah ada kebenarannya.
Contohnya jelas pada hari ini kita sebagai rakyat biasa sering dipaparkan adegan percakaran, perbalahan, provokasi antara parti-parti di Malaysia dan paling menyedihkan Melayu sesama Melayu sendiri berbalah kerana sifat ketakjuban kepada parti melebihi segalanya.
Paling menyedihkan insiden caci mencaci seolah-olah menjadi wabak yang meracuni pemikiran bangsa kita yang tanpa kita sedar budaya ini sebenarnya melemahkan kekuatan orang Melayu dan merencatkan perkembangan untuk bangsa ini terus maju ke hadapan.
Pelbagai pergolakan berlaku di negara kita kini daripada ahli politik, rakyat, bahkan remaja Melayu sendiri yang rosak akhlaknya. Ahli politik dengan sikap mereka yang sering berbeza pendapat sehingga lupa kepada tanggungjawab sebenar mereka dilantik mewakili rakyat. Sepatutnya suara-suara rakyat yang berkumandang di dewan rakyat bertukar menjadi suara kepentingan mereka sendiri yang akhirnya tiada tindakan diambil untuk membantu rakyat yang terus terbeban.
Usaha-usaha untuk membangunkan negara dan merancakkan sektor ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat tergendala akibat bangsa kita yang berpecah belah. Bukan setakat perdebatan dalam soal perbezaan fahaman politik tetapi bahasa Melayu yang menjadi lambang penyatuan bangsa turut menjadi mangsa sehingga bahasa itu direndahkan martabatnya suatu ketika dahulu. Bagaimanapun kesilapan yang dilakukan kerajaan kembali disedari dan bahasa Melayu diletakkan semula di tempat yang sepatutnya selaras dengan perlembagaan negara yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara yang digunakan dalam segala urusan rasmi dan pendidikan . Pemansuhan PPSMI ini sebenarnya permulaan kepada proses memartabatkan bahasa Melayu kembali menjadi bahasa berdaulat dan menyatupadukan masyarakat Melayu.
Kita berbalik semula kepada bangsa kita pada hari ini yang menunjukkan tanda-tanda semakin layu dan tidak bermaya. Bangsa kita semakin mudah ditekan, diinjak dengan pelbagai ancaman sama ada dari dalam mahupun luar yang mahu melihat Melayu terus mundur dan keterbelakangan dalam segala hal.
Bangsa lain sudah mengorak langkah memacu diri bersaing untuk terus bertahan di era globalisasi yang kian mencabar tetapi bangsa kita masih di tempat yang sama akibat perpecahan yang kian teruk melanda. Perlu diingat dalam Islam kita semua adalah bersaudara dan jadikan ikatan itu untuk kembalikan semula kekuatan Melayu yang kian lemah. Hanya satu cara yang mampu kembalikan Melayu pada tempatnya iaitu dengan membuang sikap perasaan hasad dengki, dendam, tamakkan harta dan pangkat. Sifat-sifat ini perlu dibuang sejauh-jauhnya dan jadikan Islam sebagai penyatuan Bangsa Melayu.
Hentikan polemik siapa lebih handal berbicara soal agama sebaliknya mula langkah perbincangan antara parti Melayu berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya.
Kedua-dua pihak yang sering bertelagah selama ini perlu duduk semeja membincangkan masalah negara, masalah bangsa Melayu dan agama dan mengetepikan fahaman politik berpuak-puak serta paling penting perbincangan itu perlu berteraskan Islam dan bukannya berniat politik semata-mata.
Keterbukaan Presiden Pas, Datuk Seri Abd Hadi Awang yang bersedia berbincang dengan UMNO dalam soal menyatukan masyarakat berteraskan agama merupakan langkah awal kepada resolusi penyatuan Melayu agar kembali kukuh. Cuma niatnya hendaklah betul dan bukan untuk menguntungkan mana-mana parti. Itu yang perlu diberi keutamaan dan perbincangan itu nanti gunakan sebaiknya untuk mencari ramuan sakti membantu membangunkan bangsa Melayu yang akan disegani semula seperti mana zaman kegemilangan kesultanan Melaka dahulu.
Bangsa Melayu perlu diberi tonik baru agar kembali bernyawa dan terus melahirkan pakar-pakar ilmu dalam segala bidang profesional yang selama ini dikuasai bangsa asing. Semua itu boleh terjadi andai keazaman yang kuat ditanam kepada generasi muda masa kini. Tukarkan persepsi remaja Melayu ke pusat serenti kepada remaja Melayu ke universiti.
Cabaran yang mendatangkan kini perlu ditempuhi bersama dan sekarang bukan lagi masa untuk berpolitik sebaliknya penumpuan kepada agenda membangunkan masyarakat maju berdaya saing dan melahirkan tenaga mahir seberapa banyak menjadi keutamaan. Sekarang bukan waktu untuk kita bercakaran sesama sendiri tetapi pengukuhan rasa kemelayuan itu perlu dibangkitkan semula agar kita tidak terus terjajah minda walaupun sudah merdeka lebih 50 tahun tetapi minda Melayu masih terjajah. Belenggu inilah yang perlu dilemparkan agar selepas ini setiap tindak tanduk, perancangan dan cara berfikir berpaksikan minda Melayu dan bukannya minda terjajah.

No comments:

Kedamaian datang apabila hati tenang