Tuesday, July 21, 2009

Lilin: Husam kata boleh

Pelbagai reaksi orang mengata dengan tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang memegang lilin ketika menyertai Majlis berkabung memperingati kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, Jumaat lalu.
Tindankannya beliau mendapat maklum balas Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi yang menyifatkan perbuatan itu bukan budaya Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim pula berpendapat Mohamad Nizar tidak seharusnya berbuat demikian kerana boleh melanggar akidah.
Bagaimanapun bagi Husam tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda protes boleh dilakukan, sebaliknya jika bertujuan turut serta upacara keagamaan memang tidak boleh.
Itu pendapat beliau dan sesiapa pun berhak mengeluarkan pendapat. Saya tidak mahu mengulas lanjut soal ini kerana lebih baik diserahkan kepada mereka yang lebih arif dan faham mengenai sudut agama berkaitan tindakan Nizar.
Cuma rasa pelik sahaja setiap tindakan yang dilakukan pembangkang pasti ramai yang akan mengatakan salah dan bertentangan dengan budaya Islam tetapi tanpa sedar orang yang berkata demikian pun kadangkala tidak berani menegur pemimpin kerajaan yang jelas melanggar budaya Islam secara terang-terangan.
Bukan baru malah sudah lama amalan ini beranak pinak dalam kalangan orang UMNO sendiri. Siapa berani kata budaya salam dengan bukan muhrim itu budaya Islam yang sebenarnya Islam mengharamkan bukan muhrim bersentuhan. Tetapi amalan itu yang selalu dilakukan hingga seolah-olah tidak ada apa-apa jika lelaki dan perempuan bukan muhrim bersalaman.
Perkara itu pakar-pakar agama tidak mahu memberi komen pula seolah-olah kuman di seberang nampak gajah di depan mata tidak nampak.
Tidak salah mengeluarkan kenyataan dan memberi pendapat cuma biarlah ia dilakukan secara menyeluruh dan bukannya memilih bulu memberi komen.
Amalan konsert dan hiburan melampau yang dianjurkan oleh kerajaan juga adakah itu budaya Islam. Kenapa itu tidak dipersoalkan dahulu. Tepuk dada tanya selera. Ramai hari ini tidak berani menegak kebenaran mencegah yang mungkar kerana takut hilang jawatan, pengaruh dan harta tanpa memikirkan tanggungjawab yang akan digalas di akhirat kelak. Fikir-fikirkanlah.

No comments:

Kedamaian datang apabila hati tenang