Monday, June 22, 2009

Tak nak kerajaan perpaduan: PR

Pakatan Pembangkang sebulat suara menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) yang disifatkan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak untuk menggugat kekuatan pembangkang yang semakin mendapat sokongan rakyat. Akhirnya satu kesepakatan dapat juga dimeterai. Diharapkan isu ini selepas ini tidak akan dimainkan mana-mana pihak lagi. Harapnya lah. Bagaimanapun Anwar menyatakan PR mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan dan mengembalikan semula integriti institusi kehakiman.
Presiden Pas sendiri mengakui tidak akan meneruskan rancangan penubuhan kerajaan perpaduan dan menyifatkan UMNO sengaja memperbesarkan hal ini demi kepentingan sendiri.
Tuan Guru Nik Aziz juga sudah menarik balik kepada Timbalan Presiden Pas selari dengan penolakan Kerajaan Perpaduan. Satu yang patut dipuji dalam soal ini segala keputusan yang dibuat melalui perbincangan bersama. Maka lepas ini jangan isu ini menjadi perbualan lagi. Cukup setakat ini dan jangan dibesar-besarkan lagi.
Reda juga akhirnya kemelut yang memberi kekalutan kepada Pakatan Rakyat. UMNO pula menggunakan isu ini untuk kembali mengukuhkan parti yang kian tenat ini. Namun nampaknya usaha itu gagal lagi apabila Pakatan Rakyat menolak untuk berbincang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pula menyifatkan kerajaan masih mampu mentadbir tanpa Kerajaan Perpaduan. Memang kerajaan dapat mentadbir tetapi bagaimana dengan pilihan raya ke-13 nanti. Masih mampukah mereka mendabik dada berani berkata dapat mentadbir. Andaikata jika dapat mentadbir sekalipun mungkin banyak kerusi lagi akan jatuh ke tangan pembangkang. Bagaimanapun itu hanya andaian kerana dalam politik segalanya boleh berubah dalam sekelip mata. Hari ini kita sokong parti ini esok pula sokong parti ini. Itu sudah jadi lumrah dalam politik. Buktinya di depan mata kita sendiri sudah disaksikan pelbagai sarkas dan badut dalam kalangan orang politik. Hari ini masuk parti ini esok parti lain. Jadi buat masa ini kita tidak dapat menduga cuma jika UMNO masih berperangai lama dan berasa selesa mereka akan kecundang.
Rakyat sekarang tidak mahu disajikan makanan pembangunan tetapi apa yang diingini penuhi kehendak mereka, dengar luahan mereka, beri keselesaan kepada mereka. Itu yang mereka mahu. Bagi mereka buat apa ditabur pembangunan mega jika ia hanya memberi manfaat kepada golongan tertentu sahaja sedangkan mereka masih makan nasi putih berlaukkan ikan kering. Projek yang ditabur hanya dikaut kroni-kroni yang terus membuncitkan perut. Rakyat pula terus kurus menagih simpati.
Lebih banyak lagi cara untuk membincangkan masalah rakyat dan tidak semestinya Kerajaan Perpaduan dapat menyelesaikan masalah yang kian bernanah ini. Selagi sikap tamak jawatan dan sentiasa ingin cantas-mencantas letak seribu satu juta formula pun bangsa Melayu tidak akan ke mana. Jadi kepada ahli politik fikirkan kembali apa tujuan kalian masuk politik. Ingin bantu rakyat atau ingin mencari populariti. Jika ingin cari itu jadilah artis. Jika ingin cari harta pula lupakan niat untuk berpolitik kerana pasti anda akan cepat kecundang.

hayati sajak ini dari bekas Perdana Menteri yang sudah tidak kedengaran lagi kini tetapi khusus untuk ahli politik dengarknalah:

Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti

Friday, June 19, 2009

Betul ke Undi BN pun boleh masuk syurga

Sudah lama rasanya kita tidak mendengar ahli-ahli politik berkata, Undi parti sekian-sekian anda boleh masuk syurga. Tetapi kata-kata keramat itu kembali berbunyi apabila Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut ‘undi BN (Barisan Nasional) juga boleh masuk syurga’.
Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub pula berasa hairan kenapa isu itu dimainkan sedangkan sebelum ini mereka yang beria-ia menghentam pas apabila Pas menggunakan isu 'undi Pas masuk Syurga'. Bukan Salahudin sahaja yang berasa hairan tetapi saya juga turut hairan memikirkannya. Bagaimana sebuah parti yang sebelum ini tidak suka isu ini dibangkit tiba-tiba mereka pula menjadi juara mengeluarkan undi BN juga boleh masuk syurga. Adakah ini strategi terdesak untuk meraih sokongan pengundi. Umum mengetahui rakyat Kelantan pemikirannya sedikit berbeza. Mereka tidak makan dek strategi pembangunan. Kerana mereka sudah terbiasa hidup berdikari tanpa menerima bantuan. Jadi apakah kali ini dengan menyatakan Undi BN boleh masuk syurga akan memenangi hati pengundi Manek Urai?. Jawapan itu hanya akan diketahui apabila tiba hari mengundi nanti dan sama-sama kita tunggu dan lihat.
Ya memang benar kata Muhyidin umat Islam boleh masuk syurga mengikut dosa pahalanya bukan kerana memilih parti tetapi ingat tanggungjawab sebagai seorang Islam yang memilih pemimpin juga akan dipersoal di akhirat nanti. Andai kata kita memilih pemimpin yang tidak ingin melaksanakan ajaran Islam kita juga akan mendapat sahamnya dan kita juga dikatakan bersubahat. Jadikan katakanlah apa kita dijamin masuk syurga jika memilih pemimpin yang tidak terniat ingin melaksanakan hukum Islam. Tepuk dada tanya selera.
Bukan kerana parti kita dijamin masuk syurga tetapi siapa yang kita pilih untuk membimbing kita menjadi seorang Islam yang bukan sekadar pada nama tetapi sebagai seorang yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya itu yang penting. Mungkin apabila pendapat ini dikemukakan ahli-ahli BN akan marah dan melenting tetapi ini sekadar mengingat. Ingat tangan yang mengundi akan menjawab pertanyaan Allah di akhirat kelak.
Kepada pengundi Manek Urai pilihlah pemimpin yang benar ingin menjaga kebajikan rakyat dan membimbing anda ke jalan diredai Allah tidak kira ia dari parti mana asalnya Islam dijadikan keutamaan. Ingat tangan yang mengundi akan menentukan pemimpin yang anda pilih. Jangan tersalah memilih kelak menyesal pun tidak berguna.
Bagi saya hentikan polemik undi parti ini boleh masuk syurga kerana ia hanya akan memesongkan akidah kerana penentu masuk syurga adalah amal kebajikan kita.

Thursday, June 18, 2009

Mesyuarat ukhuwah bincang kerajaan perpaduan

KOTA BAHARU 18 Jun - Isu kerajaan perpaduan yang hangat dalam Pas ketika ini sehingga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Timbalan Presiden parti itu Nasharudin Mat Isa melepaskan jawatan jika mahu meneruskan agenda itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas parti tidak lama lagi.
Nik Aziz berkata, selaku Mursyidul Am Pas, beliau telah dipertanggungjawabkan untuk mengatur dan mempengerusikan mesyuarat yang hanya akan dihadiri pemimpin tertinggi Pas termasuk Nasharudin.
“Saya sendiri akan menjemput Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin Pas lain yang akan saya tentukan kemudian.
“Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini. Buat masa ini masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Pas Kelantan di sini hari ini. - Bernama

Eloklah tu. Hal ini sepatutnya sudah dibincangkan dari awal lagi daripada mengelakkan ia memberi tanggapan yang salah kepada ahli parti. Tambahan pula mereka yang bertelagah ini merupakan pemimpin peringkat tertinggi. Lebih baik ia dibawa berbincang sebelum mengeluarkan kenyataan yang akan lebih mengelirukan ahli. Dalam Islam sendiri ada majlis syura yang akan menentukan segala ketidaksepakatan yang akan mencari kata sepakat bagi sesuatu isu yang dibangkit. Kerajaan perpaduan ini saya sendiri sebenarnya masih belum faham dengan apa yang dikatakan kerajaan perpaduan. Perpaduan dari segi mana yang hendak dibincangkan. Adakah dari segi perkongsian kuasa atau sebaliknya. Itu saya tidak tahu. Paling penting sekarang diharapkan perjumpaan ini akan merungkai kemelut yang melanda kini. Tidak elok sebagai pemimpin yang disegani dengan imej Islam bertelagah sesama sendiri yang hanya akan memecah belahkan parti.

Sah Nizar fail permohonan rayuan esok

Kemelut Perak akan semakin panas apabila Nizar akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Makin kalut dan serabut memikirkan masalah yang tidak berkesudahan ini. Susah-susah sangat bubar DUN sahaja. Habis cerita dan biar rakyat pilih siapa yang layak jadi kerajaan yang memerintah di Perak. Kalau terjadi saya pun nak balik mengundi. Kita sama-sama tunggu apa pula keputusan hakim selepas ini. Keputusan kali ini akan memihak kepada siapa pula masih belum diketahui cuma kita tunggu sahajalah.
Rakyat pun dah makin bosan memikirkan krisis di Perak. Masing-masing mempunyai ego yang melangit. Sebelah sini beralasan semua ini dibuat atas kehendak rakyat. Sebelah sini pula mendakwa mereka memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan. Apapun kita tunggu kata mahkamah pula. Nak tunggu pilihan raya entah jadi entah tidak. Harap lepas ini apabila keputusan mahkamah diumumkan maka kemelut ini akan berakhir.

1belia 1Malaysia pula diperkenalkan

Bagi mencapai gagasan 1Malaysia maka Kementerian Belia dan Sukan telah memperkenalkan konsep ‘1 Belia 1 Malaysia’ agar belia bersama mencapai hasrat tersebut.
Timbalannya Datuk Razali Ibrahim menyatakan konsep yang diperkenalkan ini memberi penekanan kepada nilai-nilai patriotik, kekitaan, integrasi dan perpaduan dalam semua program dan aktiviti kementerian tanpa mengira kaum, keturunan dan latar belakang.
Dari satu segi kelihatan tinggi hasratnya tapi dari segi yang lain saya masih berasa sangsi keberkesanannya. Manakan tidak selama ini kita sering diperdengarkan dengan pelbagai konsep oleh pemimpin dan konsep itu turut lenyap apabila pemimpinnya sudah tidak ada lagi. Konsep Islam Hadhari oleh Pak Lah juga sudah tidak diperkatakan lagi. Kini timbul pula konsep 1Malaysia rakyat diutamakan, Pencapaian didahulukan oleh Najib. Apakah konsep ini akan turut menerima nasib sama apabila Najib bersara nanti. Rasanya mungkin kerana setiap yang baru pasti mempunyai idea yang baru. Begitu juga 1Belia 1Malaysia ini takut ia hanya sekadar slogan semata-mata. Pengisiannya tidak ada ke mana-mana. Masih berada pada tahap yang sama. Apa yang dimaksudkan 1belia 1Malaysia jika hanya menekankan aspek fizikal tetapi tidak spiritual. Akhlak belia kita kita kini rosak kerana kurangnya aspek spiritual yang ditekankan dalam diri mereka. Maka timbul gejala sosial yang terjadi hari ini hingga sukar dibendung. Budaya merempit, dadah, gay, lesbian dan banyak lagi yang sukar dibendung tetapi kita sibuk memikirkan pelbagai slogan yang tidak memberi kesan langsung. Tengok sahaja slogan Tak nak merokok. Tidak ke mana pun, Orang tetap membeli rokok. Jika sudah tahu rokok membahayakan kesihatan kenapa tidak dilarang supaya rokok tidak dijual. Ini baru dikatakan tindakan untuk mengatasi masalah rokok. Sekadar kempen dan tayangan video masih belum menunjukkan tanda orang berhenti rokok sebaliknya bertambah orang merokok di Malaysia.
Dari satu segi penekanan konsep 1Belia 1Malaysia pada saya memang bagus tetapi cuma ia perlu dilaksanakan dengan sebetulnya dan bukannya hanya main tangkap muat dan sambil lewa. Akhirnya belia tidak ke mana dan masih berada pada takuk yang lama.

Monday, June 15, 2009

Penangan lilit kepala



Dewan Rakyat bikin gempar lagi apabila mengarahkan Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin keluar Dewan hanya selepas 10 minit mengangkat sumpah di Dewan Rakyat.
Perintah ini dikatakan berpunca rasa tidak puas hati Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana Nizar dikatakan menjadi punca beberapa ahli Parlimen pembangkang memakai lilit kepala dengan perkataan ‘Bubar DUN.’
Macam-macam terjadi sekarang ini. Masalah rakyat belum selesai Ahli Parlimen pula buat hal. Rakyat yang memerhati hanya mampu geleng kepala. Isu Perak memang dah ketentuannya begitu. Apa yang penting sekarang ahli politik perlu memikirkan masalah rakyat. Itu yang menjadi keutamaan. Biarlah sekarang puak ini berasa mereka menang tetapi jika anda berada di pihak yang benar pilihan raya ke-13 akan menjadi milik anda. Tetapi itupun kalau anda betul berjuang kerana rakyat bukan hendakkan pangkat dan pengaruh. Apa yang penting utamakan masalah rakyat. Rakyat yang memilih ahli Parlimen dan rakyat juga yang boleh menjatuhkan ahli Parlimen. Jangan cemarkan lagi Dewan Rakyat dengan perkara-perkara yang tidak membina dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Negara di luar sana sedang sibuk menangani krisis ekonomi sebaliknya negara kita tidak habis berpolitik. Takkan lah hendak jadi makan politik, tidur politik, cakap politik, jalan politik. Bak kata semuanya politik. Kalau macam itu sampai bila hendak mendengar rintihan rakyat. Sudahlah hentikan polemik ini kembali tumpukan kepada tugas membangunkan negara. Fikirkan suara dan tangisan rakyat yang sedang menunggu wakil rakyat datang mengambil tahu. Bukannya hanya datang apabila ada majlis. Contohilah bagaimana Saidina Umar Al-Khatab menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Tidak kiralah parti mana pun sama ada BN, Pas, PKR, DAP. Hentikanlah caka-cakap politik. Ini bukan masa berpolitik tetapi masa menabur jasa kepada rakyat yang memilih anda.

Lapan dasar Kerajaan Negeri Perak


Kerajaan Zamry mengorak langkah lagi apabila mengumumkan lapan dasarnya dalam memacu Perak mencapai negeri maju 2015.
Bagaimanapun sasaran itu mungkin akan dikaji semula kerana negara kini berdepan dengan krisis ekonomi.
Beliau juga mengarahkan kakitangan kerajaan negeri menjawab sebarang rungutan, komen dan permohonan dalam tempoh 14 hari.
Kalau benar hal ini terjadi baguslah. Selepas ini rakyat Perak tidaklah tertunggu-tunggu lagi apabila membuat permohonan. Dalam masa dua minggu semua akan selesai. Cepatnya. Tetapi bolehkah ia dilaksanakan, itu yang menjadi persoalannya. Jangan cakap tidak serupa bikin sahaja sudahlah. Rakyat tidak mahu dengar percakapan tetapi tindakan. Tidak mengapalah. Arahan ini baru lagi, kita beri peluanglah dan lihat ia terlaksana atau sekadar cakap-cakap kosong. Saya yang asal orang Perak tumpang gembira jika ia terlaksana.
Tambahan pula dalam lapan dasarnya itu menekankan konsep ilmu agar rakyat Perak ini semuanya berilmu. Ini saya sokong kerana tanpa ilmu kita tidak akan ke mana. Cuma lebih elok rasanya jika ilmu yang dimaksudkan itu merangkumi ilmu agama. Itu penting, jangan sibuk mengejar negeri maju rakyatnya rosak akhlak kerana ilmu agama tidak ditekankan. Penat pula mufti Perak hendak menasihati rakyat Perak yang terpesong dari ajaran Islam (kebarangkalian sahaja bukan terjadi betul).
Tak sabar nak balik Perak nak tanya keluarga ada perubahan ke tidak atau sama sahaja apabila berurusan dengan kakitangan kerajaan. Takut 14 hari ke mana permohonan entah bila diluluskan. Itu yang takut. Apapun kita tunggu dan lihat...

Sunday, June 14, 2009

Tiada campur tangan pembicaraan Anwar?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi jaminan tidak akan ada campur tangan pihak lain terutama dalam kalangan orang politik pada perbicaraan Anwar terhadap bekas pembantunya, Saiful.
Jika benar seperti apa yang dikatakannya itu baguslah. Biarlah mahkamah yang menentukan siapa yang salah dan siapa yang benar. Rakyat ingin mengetahui kebenarannya tanpa ada tangan-tangan hitam yang mengganggu proses membuat keputusan.
Perbicaraan ini masih belum bermula dan kita masih belum mengetahui keputusannya lagi. Cuma perbicaraan kali ini adakah akan panas seperti perbicaraan yang terdahulu. Apakah tilam akan diusung kembali masuk ke mahkamah. Ini semua belum diketahui. Yang mampu kita buat hanya menunggu dan lihat.
Bagi pihak Saiful jika anda benar teruskanlah perjuangan mu tetapi andai anda memfitnah ingatlah balasan Allah menanti anda.
Satu lagi jawapan yang kelakar daripada Ketua Pemuda UMNO, Khairy apabila menyifatkan kenyataan Nurul Izzah memberikan gambaran buruk terhadap badan kehakiman negara kerana gusar campur tangan dalam keputusan perbicaraan ayahnya.
Pelik kerana selama ini adakah badan kehakiman dipandang tinggi sedangkan badan kehakiman itu masih dipertikaikan rakyat.
Memang wajar Izzah bimbang kerana beliau belajar daripada pengalaman dengan apa yang menimpa ayahnya dahulu.
Paling melucukan apabila Nazri berkata kenapa perlu bimbang kerana takut kalahkah. Ini satu lagi pandangan sinis yang melucukan daripada seorang menteri.
Bagi saya Izah bukannya takut kalah. kalah dan menang adat pertandingan tetapi kenyataan Nazri itu seolah-olah menunjukkan Anwar memang bersalah dan memberi tanggapan yang tidak baik kepada Anwar. Izzah hanya mengeluarkan kenyataan kegusarannya ada campur tangan pihak tertentu yang menjadi 'master mind' di sebalik keputusan itu nanti. Itu sahaja yang dikhuatirinya kerana tangan-tangan hitam ini akan membuatkan keputusan yang boleh berpihak kepada Anwar menjadi sebaliknya. Itu maksudnya dan bukan kerana beliau takut kalah. Itu bagi fahaman daripada kaca mata saya.
Apapun kita tunggu dan lihat apakan kesudahan episod lucu, sedih dan penuh kejutan ini. Sama-sama kita nantikan.

P/S: Jangan kali ini siap usung katil sekali sudahlah.

Saturday, June 13, 2009

Chin Peng: antara realiti dan sejarah

Ada logik juga kata-kata Anwar Ibrahim iaitu Chin Peng seharusnya dibenarkan pulang. Saya bukanlah hendak menyokong cuma apabila difikirkan kenapa pemimpin PKM yang lain kita benarkan sedangkan Chin Peng tidak dibenarkan. Adakah kerana dia bukan Melayu dan Cina. Itu tidak tahu.
Ya memang benar kepulangan dia akan mengembalikan luka lama tetapi kebanyakan kita hari ini sering mengiyakan kata-kata orang tanpa memikirkan apa yang diperkatakannya betul atau tidak.
Benarkan Chin Peng begitu kejam sehingga kita tidak dapat memaafkannya. Sebagai orang yang beragama Islam bukankah kita diajar memaafkan orang lain.
Rata-rata kita semua hari ini tidak mengalami era ketika itu. Chin Peng bertindak ketika itu kerana ingin memperjuangkan haknya. Cuma cara yang diperjuangkannya sahaja salah dan mengorbankan nyawa.
Namun sekarang bagi orang yang sudah berusia apalah yang mampun dilakukanya tambahan pula perjanjian damai sudah dimeterai.
Saya bukanlah hendak menyokong cuma mahu kita semua berfikir supaya jangan mudah melenting dan marah tanpa usul periksa.
Guna kewarasan kita yang dikurniakan sebaik mungkin.
Waktu belajar dahulu kita sering diajar dalam subjek sejara Datuk Maharaja Lela memberontak. Kita terimanya bulat-bulat. Cuba kita fikirkan adakah pejuang yang ingin mempertahankan negaranya dikatakan pemberontak. Ini semua propaganda barat untuk mengaburi mata kita.
Ini yang diajar di sekolah dan kita di didik mengikut acuan mereka.
Begitu juga dengan hal Chin Peng ini. Kita takut disalah faktakan seolah-olah dia begitu kejam.
Memang Chin Peng salah tetapi kesalahan yang bagaimana sebenarnya kita yang ada sekarang tidak tahu cuma mengetahuinya melalui pembacaan bahan sejarah.
Selaras dengan konsep 1Malaysia kenapa kita tidak fikirkan kepulangan ini tidak akan memberi kesan sebenarnya. Rakyat kita sudah terbiasa cepat melatah sedangkan apa yang dilatahnya sendiri tidak pasti.
Bukan niat saya ingin menyokong kepulanganya tetapi sekadar berkongsi pandangan. Jangan terpedaya dengan dakyah barat.
PKM sendiri sudah berkubur dan pengikutnya sendiri sudah insaf dan ingin berdamai.
Jadi salahkah kita memberi kemaafan.

Dakwa datuk terlibat rasuah MRR2

PUTRAJAYA 12 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan ke atas dua ahli UMNO bergelar Datuk yang disyaki terlibat dalam kes rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengesahkan siasatan ke atas kedua-dua ahli parti itu, mahu imej UMNO dibersihkan.
‘‘Kita tak nak ahli yang memburukkan imej parti. Kalau mereka kena dakwa, kita ikut prosedur biasanya kita akan gantung jawatan yang mereka pegang, itu kita akan lakukan.
‘‘Tapi SPRM kena ambil tindakan (terlebih dahulu), parti juga akan ambil langkah serupa seperti dilakukan ke atas Datuk Norza Zakaria dan Datuk Suhaili Abdul Rahman serta dua lagi pemimpin UMNO dari Seremban dan Perlis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull mengesahkan siasatan ke atas dua lelaki bergelar Datuk telah siap dan sudah diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan.
Siasatan mengenai penyelewengan projek tersebut dijalankan selepas media pada Ogos 2004 mendedahkan mengenai keretakan MRR2 yang tidak selamat digunakan.
Mengulas lanjut pembabitan kedua-dua ahli UMNO itu dengan kes rasuah, beliau berkata, UMNO tidak wajar dipersalahkan jika perbuatan itu dilakukan oleh mana-mana ahlinya.
‘‘Macam kita buka satu tin jus atau susu, apa ada dalam tin kita tak tau tapi dari luar kita tahulah ia tin susu, mungkin kandungannya itu busuk atau tak baik, kita tak tau. Sumber utusan


Baguslah kalau mereka diambil tindakan. Walaupun belum terbukti mereka terlibat tetapi SPRM perlu bertindak agar mereka tidak dipersoal kelak. Tambahan pula mereka ahli UMNO yang kini rakyat sudah ditanam dalam minda mereka orang UMNO mesti main rasuah. Harap selepas ini SPRM bertindak dengan betul bagi menjaga imej badan ini agar tidak tercemar.
Projek itu bukannya projek jambatan kayu tetapi melibatkan kos yang tinggi. Rakyat perlu tahu mengapa projek yang menelan kos tinggi boleh timbul masalah walaupun baru dipakai. Kesudahannya duit rakyat digunakan lagi untuk membaik pulih semula MRR2.
Kalau mereka terbukti bersalah jangan didiamkan sahaja sabitkan kesalahan mereka. Jangan nanti fail siasatan hilang atau dibangkul sampahkan setelah ia kembali reda. Ingat rakyat mahu keputusan yang tidak memihak kepada sesiapa. Tidak kira mereka dari parti mana andai kata salah mereka tetap salah.
Islam tidak melihat kedudukan dan pengaruh dalam menyabitkan kesalahan orang. Jadi sebagai orang Islam diharapkan pegawai SPRM yang beragama Islam jalankan tanggungjawab anda sebaik mungkin. Ingatlah di dunia ini jika anda melepaskan orang yang bersalah pasti di akhirat kelak anda akan ditanya, dan ketika itu ingatlah mulut tidak dapat berbicara tetapi anggota badan lain yang akan menjawabnya.
Kembalikan integriti SPRM agar tidak dicemuh lagi.

Zaid sah sertai PKR


Akhirnya teka-teki mengenai kedudukan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang dipecat daripada Umno pada Disember tahun lepas terjawab apabila beliau sah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Alasan Zaid mengapa beliau memasuki PKR adalah kerana percaya dan yakin dengan perjuangan parti itu.
Kemasukan beliau dalam Pakatan Rakyat dapat menguatkan komponen pakatan itu masih belum diketahui. Implikasi kemasukannya juga belum diketahui dalam mengerakkan jentera parti.
Namun pengalamannya sebagai bekas menteri boleh diguna pakai untuk mengukuhkan parti pakatan rakyat yang kini mendapat tempat di hati rakyat.
Kemasukan beliau ini menambah lagi bekas pemimpin UMNO yang berpaling arah dan memilih PR untuk meneruskan agenda politik mereka. Apakah kemasukan beliau ini akan membuka lembaran baru di mana banyak lagi pemimpin UMNO akan masuk ke Pakatan Rakyat sama ada PKR, Pas, DAP masih belum diketahui. Tetapi jika hal ini berlaku bermakna UMNO semakin parah dan menanti digulingkan dalam pilihan raya ke-13. Selagi amalan kronisme, rasuah dan sebagainya membelit pemimpin UMNO selagi itulah susah bagi parti untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Friday, June 12, 2009

Apa yang diingini oleh Sis

SIS tetap perjuang hak wanita Islam
KUALA LUMPUR 11 Jun - Sisters In Islam (SIS) tetap meneruskan perjuangan untuk menuntut keadilan dan kesaksamaan hak bagi wanita Islam walaupun berhadapan dengan pelbagai kontroversi.
Pengurus Kanan SIS, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya akan tetap berpegang kepada prinsip memperjuang dan mendapatkan hak yang sepatutnya jadi milik wanita Islam.
Beliau menegaskan, SIS adalah jenama yang sah dan tidak ada kaitan sama ada didaftar di bawah Akta Pertubuhan atau Akta Syarikat.
"SIS sepatutnya dinilai menerusi kerja-kerja kebajikan yang telah dilakukan dan pihak yang tidak memahami aktivitinya dijemput mengadakan dialog dengan kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Maria berkata demikian ketika menjelaskan kenyataan Ahli Parlimen, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zulkifli Noordin yang mahu Pesuruhjaya Syarikat menghentikan SIS menggunakan perkataan Islam pada namanya. Sumber utusan

Saya sendiri masih tidak faham apa sebenarnya yang ingin diperjuangkan oleh Sis yang inginkan kesamarataan wanita Islam. Adakah selama ini mereka wanita ditindas dan adakah Islam tidak mengangkat martabat mereka. Setahu saya, Islam mengangkat martabat Wanita berada di tempat yang mulia. Jika tidak masakan dikatakan syurga di bawah tapak kaki ibu. adakah itu belum cukup lagi wanita diagungkan dan berada di kedudukan yang mulia. Banyak sebenaranya lagi bukti Islam memberi hak sama rata kepada wanita yang rasanya kita semua sendiri ketahui dan tidak perlu disebut di sini
Maka persoalannya hak yang bagaimana lagi ingin diperjuangkan. Hak apa yang sebenarnyan diingini dan untuk apa hak itu dipenuhi. Semua ini Sis perlu menjawabnya. Jangan memperjuangkan hak atas rasa kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan keperluan menuntut hak yang didakwa tidak mendapat kesamarataan.
Jika mereka mendakwa masih belum mendapat kesamarataan yang diingini sama jualah mereka seolah-olah mengatakan Islam itu menyekat kebebasan wanita dan tidak mengangkat martabat wanita.
Apa pun jawapan ini ada pada mereka sendiri yang memperjuang hak-hak wanita. Islam itu sudah lengkap yang memberi keadilan kepada semua umatnya. Yang membezakan kita bukan jantina, bukan warna kulit, bukan pangkat tetapi amalan ketika kita hidup.
Fikirkan-fikirkanlah. Bagi yang beragama Islam wanita yang bergelar Isteri solehah d syurga nanti akan menerima ganjaran yang tidak ternilai harganya. Mereka ini akan menjadi ketua bidadari kepada suaminya. Inilah kemulian yang diberikan kepada wanita yang sesungguhnya diangkat martabatnya di sisi Islam.
Jangalah kita mengikut pemikiran barat yang inginkan kesamarataan yang jauh menyimpang dari agama.
Adil itu sendiri perlu difahami maksudnya sedalam-dalamnya. Kita ambil contoh kasut yang mahal dan kopiah yang murah. Jika diikut adil maka kopiah seharusnya diletakkan di kaki dan kasut di kepala. barang murah tentulah di kaki dan yang mahal di letakkan di tempat yang tinggi tetapi dalam soal ini lain.
Hal ini kerana sifat keadilan yang diajar dalam Islam maka kasut itu seharusnya berada di tempat yang sebetulnya walau mahal mana harganya.

Thursday, June 11, 2009

Tahniah Datuk Mustafa Ali


KUALA LUMPUR 11 Jun – Bekas Pengarah pilihan raya Pas, Datuk Mustafa Ali diumumkan sebagai Setiausaha Agung Pas yang baru menggantikan Datuk Kamaruddin Jaafar.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Syura, Idris Ahmad dilantik sebagai Ketua Penerangan, manakala Dr. Hatta Ramli kekal sebagai Bendahari parti itu.
Dalam pada itu, dua calon Timbalan Presiden Pas yang tewas pada pemilihan parti itu minggu lalu, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Pelantikan berkenaan diumumkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pas Pusat di sini hari ini. - Utusan

Diharapkan beliau dapat menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin bagi memperkasakan parti dan menegakkan syiar Islam yang menjadi matlamat parti ini.
Tanggungjawab yang diberikan ini merupakan satu penhargaan kepada beliau. Tahniah dan teruskan perjuangan mu mengukuhkan parti agar diterima rakyat.

Tuesday, June 9, 2009

Anda tentukan BI wajib atau tidak

Kementerian Pelajaran mengemukakan talian khidmat pelanggan kementerian itu di 03-77237070 atau e-mel di kpkpm@moe.gov.my berhubung isu Bahasa Inggeris syarat wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ingatkan dah reda dan tidak dibincangkan lagi. Nampaknya isu ini akan menjadi semakin panas dan terus panas.
Selepas ini orang ramai bolehlah mengemukan cadangan berkaitan hasrat ini. Bagi saya bagus untuk bertanya pendapat orang ramai cuma nanti janganlah pula apabila ramai tidak bersetuju dengan dasar ini kerajaan akan pekakkan telinga seperti PPSMI. Sedih kerana semakin kita maju semakin keterbelakang pemikiran masyarakat kini.
Jika ia dilaksanakan rasanya akan berkurangan lah orang Melayu di universiti nanti. Kerana kita sendiri pasti tahu akibatnya. Kebanyakan pelajar di luar bandar lemah bahasa Inggeris dan apabila ia menjadi syarat wajib untuk lulus SPM ini akan menyukarkan lagi mereka untuk ke IPT. Jangankan bahasa Inggeris, subjek bahasa Melayu sendiri pun ada dalam kalangan anak Melayu yang tidak lulus dan mendapat kepujian. Inikan pula hendak mewajibkan bahasa Ingeris. Mereka yang ingin sangat ia terlaksana fikirkan lah semula. Jangan korbankan anak bangsa demi kepentingan tersendiri. Fikirkanlah....

Masyarakat kita semakin kejam


Laporan sebuah akhbar tempatan mengenai seorang amah wanita yang diperlakukan bagai hamba abdi sejak hampir tiga tahun apabila didera hampir setiap hari, sebelum dia nekad melarikan diri dari rumah majikannya di sebuah kondominium di Mount Kiara mengulangi episod malang yang sering kita baca sebelum ini.
Kes seperti seakan tidak terhenti dan masih berlaku lagi. Apa yang mampu dikatakan sedih dan pilu menyaksikan manusia seperti kita diperlakukan sedemikian rupa. Bagi saya majikan yang melakukan perkara ini tidak layak digelar manusia kerana ini bukan sikap manusia dan mahu dilabelkan sebagai haiwan pun tidak layak kerana darjatnya lebih hina daripada itu.
Paling menyayat hati amah ini diberi makanan daging babi sedangkan dia beragama Islam. Betapa kejam dan hina manusia ini. Walaupun dia bukan rakyat kita tetapi jagalah adab rakyat Malaysia yang terkenal dengan adab sopannya dan ramah. Jika hal ini terus dibiarkan imej negara akan terus tercalar.
Mangsa juga langsung tidak dibayar gaji sejak 34 bulan lalu dan dia turut dipukul dengan objek keras jika membuat kesalahan. Kenapalah masyarakat kita begitu kejam. pelbagai kes jenayah dilakukan masyarakat kita yang menunjukkan betapa kejamnya rakyat Malaysia. Sebelum kes ragut telah mengakibatkan seorang ibu mengandung meninggal dunia. Itu satu hal lagi yang mengiakan bahawa masyarakat kita semakin kejam.
Ingatlah sekarang kita berada di mana-mana sahaja sudah tidak selamat malah berada di rumah sendiri belum tentu kita selamat.

Saman datang lagi


Malaysia sekarang ini macam-macam hal terjadi. Pelbagai isu mewarnai negara kita kini. Isu, runtuh, PPSMI, tuduh-menuduh, saman fitnah sudah jadi semacam syarat wajib di negara kita. Paling menarik isu saman-menyaman tidak kira dari pembangkang atau pun kerajaan. Ingat jangan sembarangan keluar kenyataan nanti anda di saman. Saya sendiri terasa seram sejuk apabila ingin mengutarakan pendapat takut nanti di saman. Maklum lah sekarang ni pantang silap sikit tunggu lah surat saman nanti. Kali ini orang yang menyaman pihak lain pula ialah Murugiah yang memfailkan saman fitnah terhadap Kayveas. Alasannya kerana , Kayveas mendakwa beliau terbabit dalam politik wang dengan membayar RM74,000 kepada seorang ketua bahagian PPP yang dianggap telah mencemar maruahnya. Belum selesai kemelut siapa presiden yang sah timbul pula isu saman menyaman. Walaupun Ros menyatakan Kayveas presiden yang sah tetapi Murugiah tetap bertegas beliau merupakan presiden yang sah. Apa hendak jadi dunia politik kita hari ini. Makin bercelaru, keliru dan merapu. Watak-watak pak pandir, sarkas bertaburan di Malaysia mempersembahkan adegan wayang masing-masing. Nasib rakyat tak terbela juga. Rakyat tetap merana menanggung krisis ekonomi yang kian menghimpit. Orang atasan pula senang-senang suka saman sana saman sini.
Kes Saman Anwar pun masih belum selesai lagi sudah timbul saman baru. Kenapa masyarakat kita cepat sangat melatah. Jika kita yakin berada di pihak yang benar tidak usahlah terus hendak menyaman. Teliti dahulu dan fikirkan cara lain yang lebih mudah membersihkan imej jika difitnah. Pihak yang suka memfitnah pula henti-hentikan lah mengadu domba yang tidak ke mana sebaliknya mencari jalan kepada kehancuran negara. Jika wabak ini fitnah memfitnah ini tidak membendung negara akan hancur dek kaki-kaki fitnah yang tidak sedarkan diri. Bagi Orang Islam ingatlah dosa memfitnah itu sama seperti membunuh.
Dalam soal ini biarlah Murugiah dengan samannya kerana beliau ada hak untuk melakukannya. Cuma yang tidak sedapnya terlalu banyak sangat saman pada masa kini. Jangan nanti rakyat dari luar mengatakan rakyat Malaysia terkenal dengan sikap saman menyaman.

Monday, June 8, 2009

BI syarat wajib lulus SPM?

Isu PPSMI makin hangat diperkatakan hingga ada desas desus untuk mewajibkan pula bahasa Inggeris menjadi syarat wajib lulus Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sasterawan ulung Inggeris William Shakespeare pernah berkata: “to be or not to be, that is the question”.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, petikan pujangga itu bermain di fikiran apabila merujuk kepada sama ada bahasa Inggeris patut dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). kenyataan ini saya ambil daripada Bernama mengenai cadangan terbaru berkaitan bahasa Inggeris.
Beliau dimaklumkan bahawa ramai pelajar di luar bandar akan gagal SPM jika bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus.
“Dengan itu, saya tidak fikir ia (tidak menjadikan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib untuk lulus) memenuhi tujuan kerana bahasa Inggeris adalah bahasa yang amat penting yang kita gunakan dalam kehidupan seharian kita.
Dalam soal ini memang ada kebenarannya apabila umum sedia maklum kebanyakan pelajar luar bandar lemah penguasaan dalam bahasa Inggeris. Isu PPSMI masih belum reda timbul isu lain pula yang akan menjejaskan sistem pendidikan negara kita. Bagi saya sesuatu tindakan yang ingin dilakukan biarlah relevan dan mengambil kira semua aspek. Jangan hanya melihat dari sudut yang satu tetapi lihatlah sudut lain dan fikirkan kesannya jika ia dilaksanakan. Cukuplah kita korbankan dengan dasar PPSMI janganlah ditambah bebanan baru yang akan terus melemahkan negara kita sebenarnya. Sebabnya pelajar akan mula bosan dan kurang minat belajar terutamanya pelajar Melayu dan akhirnya kita kekurangan cerdik pandai yang memacu kemajuan negara.
Pendapat Tan Sri yang berkata, untuk meningkatkan kualiti kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, pengajaran mata pelajaran bahasa Inggeris perlu dilakukan oleh guru berkelayakan disetujui oleh saya. Idea ini lebih berkesan kerana mereka yang benar-benar layak mengajar dalam bahasa ini sahaja lebih sesuai mengajar pelajar. Mereka akan tahu bagaimana untuk berdepan dengan pelajar dan seterusnya menggunakan kepakaran sedia ada untuk menarik minat pelajar mendalami bahasa Inggeris. Ini lebih bagus daripada mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang kebanyakan gurunya sendiri kurang mahir bertutur bahasa Inggeris. Bagaimana pelajar ingin mengikutinya sedangkan kemahiran berbahasa Inggeris guru itu sendiri belum mencapai tahap yang sebenarnya.

Sunday, June 7, 2009

Stadium runtuh: sedih, memalukan

Kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang gah tiba-tiba runtuh menyembah bumi pada pagi Selasa, 2 Jun 2009, tepat jam 9.30 pagi mengemparkan negara dan suatu yang tidak dijangka.
Apapun jika sudah ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menghalanganya daripada runtuh.
Rata-rata kita semua pasti terkejut tetapi tidaklah terkejut beruk kalau ada pun hanya beberapa kerat sahaja. Mana tidaknya bangunan yang bernilai RM292 juta baru setahun siap, dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008 serta menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) XII sekelip mata bumbungnya ranap tanpa sebab yang pasti. Hendak dikatakan berlaku gempa bumi mustahil kerana Malaysia berada diluar lingkaran kawasan bencana alam seperti gunung berapi, gempa bumi dan sebagainya. Walaupun kadangkala terasa juga gegaran dari negara jiran tetapi tidaklah sampai dapat meruntuh bangunan yang berdiri kukuh.
Bagi saya hal ini perlu dibongkar dan SPRM perlu bertindak menyiasat punca berlakunya tragedi ini. Hal ini bukan gurauan tetapi perlu disiasat agar rakyat mengetahui puncanya. Rakyat ingin tahu salah siapa dan apa yang menyebabkanya runtuh semikian rupa. Nasib baik ketika kejadian tidak ada acara diadakan jika tidak pasti ratapan tangisan akan berkumandang di Terengganu. Alahai nasib-nasib macam semacam satu wabak pula. Negara lain sibuk dengan wabak penyakit negara kita sibuk wabak runtuh. Yang hendak diruntuh teruntuh sendiri yang tak nak diruntuh turut teruntuh sendiri. Macam-macam hal pelik ajaib terjadi di Malaysia sekarang ini. Cuma yang runtuh kali ini bukan durian runtuh tetapi bangunan runtuh. Apa yang terjadi mungkin disebabkan oleh perkara di bawah ini. Tidak pelik tetapi mustahil

Muktamar lulus usul PPSMI dimansuhkan

Muktamar Pas sudah berakhir dan siapa yang menerajui dan dipilih Pas juga sudah diketahui umum. Namun saya bukan ingin membincangkan soal siapa menang dan siapa kalah tetapi usul yang diluluskan dalam muktamar itu. Sebagai seorang yang terdidik dalam bahasa Melayu dan mengambil bidang linguistik Melayu dan kini masih menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang yang sama merasakan usul PPSMI dimansuhkan merupakan satu kewajaran.
Dalam muktamar tersebut ia juga sudah diluluskan. Perwakilan Pas dari Rembau, Taufik Abdul Ghani ketika membentangkan usul itu berkata parti itu membantah tindakan Kementerian pelajaran yang melengah-lengahkan tuntutan rakyat supaya PPSMI dimansuhkan. Ia turut disokong oleh Anggota Jawatankuasa kerja Pas Pusat yang baru, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Bagi saya ini satu sikap bahawa Pas memang serius untuk menentang dasar yang sebenarnya tidak menguntungkan sebaliknya merugikan kita sendiri.
Dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan ia demi meningkatkan pencapaian negara kerana bahasa Inggeris menjadi medium dalam Sains da Teknologi hanyalah sekadar cakap-cakap orang yang tidak yakin dengan bahasanya sendiri. Dalam erti kata lain tidak ada guna kita merdeka lebih 50 tahun sedangkan minda kita masih terjajah oleh puak yang berpemikiran barat. Tanpa kita sedar, bahasa Melayu ini diinjak, ditekan, dipalingkan daripada rakyatnya sendiri. Usul yang diluluskan ini menjadi titik tolak kepada penentangan PPSMI dan diharap kerajaan buka mata mereka dan mendengar suara-suara akar umbi. Jangan lagi ingin menegak benang yang basah. Fikirkan masa depan rakyat Malaysia. Bahasa Inggeris memang penting tetapi kenapa perlu dikorbankan dua mata pelajaran yang sedia susah untuk ditambah bebannya dengan mengajar dalam bahasa Inggeris.
Tidak terfikirkah mereka selama berbelas tahun belajar bahasa Inggeris dari sekolah rendah sehinggan ke universiti masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Jadi di mana silapnya sebenarnya. Apa yang patut dilakukan ialah mencari puncanya bukan mencipta masalah baru. Punca masalah belum diketemui sudah mahu mencipta masalah baru. Kenapa tidak dirombak cara pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri agar dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Jangan korbankan anak bangsa demi kepentingan politik membuta tuli. Banyak kajian sudah dijalankan yang menunjukkan implikasinya lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Usahlah mempertahankan dasar yang akan melemahkan bahasa Melayu kerana ia dikhuatiri ia akan menjadi tulisan Jawi yang seperti nyawa-nyawa ikan menunggu masa dikafankan.

Bahana bahasa singkatan dalam SMS


Zaman teknologi sekarang yang kian pesat membangun turut memberi kesan kepada manusia malah bahasa itu sendiri. Kemunculan telefon bimbit dan keadaan yang mendesak masyarakat hari ini untuk bergerak pantas turut dialami bahasa itu sendiri terutama bahasa Melayu yang cuba dibincangkan dalam penulisan ini.
Saya tertarik untuk membincangkan persoalan ini apabila ada yang bertanya kepada saya, apa akan terjadi kepada bahasa Melayu apabila sistem pesanan ringkas (SMS), budaya sembang di internet (Chatting) yang sering menggunakan singkatan dalam penulisan. Dalam soal ini semuanya terjadi seperti yang dikatakan tadi iaitu keperluan manusia untuk bergerak pantas sehingga menimbulkan gaya penulisan baru yang singkat, ringkas dan padat tanpa memikirkan nahunya, struktur ayatnya sama ada betul atau salah.
Saya ingin cuba mengaitkan persoalan ini dengan satu contoh lain yang hampir sama tetapi berbeza konteksnya. Kita ambil contoh hari ini di pasaran terdapat pelbagai makanan segera yang dijual bagi memudahkan mereka yang kesuntukan masa untuk memasak. Sebut sahaja masakan apa yang kita ingin masak pasti ada bungkusan segera atau makanan dalam tin yang disediakan untuk memudahkan kita memasaknya. Kita ambil contoh mudah, mereka yang ingin memasak ayam masak merah kini hanya boleh membeli makanan yang sudah siap dimasak. Kita hanya perlu balik ke rumah dan memanaskannya semula untuk dimakan. Mudah, ringkas dan senang dimasak tanpa perlu membeli bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ayam masak merah. Semua ini terjadi kerana keperluan mendesak untuk kita bergerak pantas seiring kepesatan dunia.
Namun cuba kita lihat, adakah sama rasanya masakan yang dipanaskan dengan masakan yang dibuat sendiri. Jawapan sudah tentu tidak sama. Masakan yang panas sudah tentu hilang rasa keasliannya. Tidak sama seperti masakan yang dimasak sendiri. Berbalik kepada soal bahasa itu tadi. Begitu juga apa yang terjadi kepada bahasa kita. Kelihatan sama tetapi berbeza dan keaslian bahasa Melayu itu telah tercemar dan mungkin akan menghilangkan jati bahasa itu sendiri.
Ragam bahasa yang singkat, rojak dan bercelaru akhirnya akan merencatkan usaha-usaha memartabatkan bahasa ini yang sudah sedia terpinggir hanya menunggu masa disingkirkan dalam kamus hidup masyarakat Melayu. Tidak mustahil suatu hari nanti wajahnya, namanya orang Melayu tetapi bahasa yang dituturkannya tidak melambangkan seperti orang Melayu. Maka apa akan terjadi kepada bahasa Melayu?. Sudah tentu bahasa Melayu hanya akan menjadi bahan kajian yang di manuskrip untuk tatapan sebagai monumen sejarah seperti bahasa terdahulu yang sudah pupus.
Penggunaan singkatan yang keterlampauan ini melahirkan apa yang dikata bahasa slanga iaitu bahasa ciptaan sendiri yang difahami oleh golongan tertentu yang menciptanya. bahasa ini hanya dituturkan golongan tersebut dan bahasa yang dicipta mengikut taraf pendidikan mereka yang berbeza-beza. Semua ini terjadi seperti yang diperkatakan dari awal lagi iaitu kita semakin bergerak pantas dan bahasa pun turut bergerak pantas sehingga mengorbankan keaslian bahasa itu.
Buktinya cukup mudah sejarah telah membuktikan, Cuba kita bandingkan bahasa dahulu dengan bahasa yang ada sekarang. Bahasa Melayu Klasik ditulis panjang berbeza dengan bahasa Melayu moden walaupun apa yang hendak disampaikannya sama. Bagaimanapun dalam konteks ini walaupun keperluan untuk kita bergerak pantas tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita menulis singkatan dalam SMS dan ketika berbual di laman sembang. Jika dahulu seawal telefon bimbit dicipta sistem pesanan ringkas hanya terhad kepada 150 patah perkataan yang memberi alasan untuk kita menulis secara ringkas tetapi kini teknologi sudah kian berkembang dan kita sudah boleh menulis lebih daripada itu.
Paling dikhuatiri penggunaan bahasa singkatan ini akhirnya akan turut diadaptasi dalam tuturan kita seharian yang akhirnya akan melemahkan bahasa Melayu yang kaya dengan nilai-nilai sasteranya.
Pakar bahasa, Prof Dr Datuk Nik Safiah Karim pernah menceritakan keadaan di Amerika Syarikat satu ketika dulu apabila seorang guru mengeluh kerana tidak memahami perkara yang ditulis pelajarnya memandangkan bahasa digunakan tidak menyerupai bahasa Inggeris biasa.
Semua yang terjadi ini akibat budaya bahasa dalam teknologi mempengaruhi pengguna komputer dan telefon bimbit sehingga lahir satu generasi yang amat gemar perhubungan melalui cara ini kerana beranggapan ia lebih cepat, ringkas dan canggih.
Sedar atau tidak sebenarnya budaya ini mengakibatkan bahasa yang buruk, ejaan tidak betul serta sifat bahasa yang terlalu ringkas sehingga melanggar kemurnian dan keaslian bahasa.
Bagaimanapun ada satu sisi lain dalam soal ini apabila satu kajian telah dilakukan oleh seorang pensyarah tempatan.
Kajian Prof Madya Dr Supyan Husin daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika itu yang dibentangkan beberapa tahun lalu beranggapan, bahasa ringkas tidak boleh menggantikan bahasa Melayu rasmi, tetapi memungkinkan komunikasi jadi lebih pantas berdasarkan beberapa kategori bahasa.
Lima kategori singkatan yang boleh diterima pakai adalah singkatan lazim, singkatan gugur vokal atau konsonan, singkatan lazim kolokial, singkatan perwakilan bunyi dan singkatan kata ganda, sementara dua kategori lagi boleh mencemar bahasa.
Cuba kita bayangkan mereka yang sering menggunakan bahasa singkatan dalam Yahoo Messenger, GoogleTalk, MSN Messenger dan sebagainya akan memberi implikasi ketika menulis esei atau karangan ketika peperiksaan. Mungkin terdapat banyak kesilapan dan kesalahan yang dilakukan akibat pengaruh budaya bahasa singkatan yang akhirnya melahirkan pelajar lemah menguasai bahasa Melayu yang benar-benar Melayu.
Dalam soal ini sama-sama lah kita renungi dan dalami kerana sedar tidak sedar kita sendiri cuba melemahkan bahasa Melayu itu sendiri.

Kedamaian datang apabila hati tenang