Pakatan Pembangkang sebulat suara menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) yang disifatkan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak untuk menggugat kekuatan pembangkang yang semakin mendapat sokongan rakyat. Akhirnya satu kesepakatan dapat juga dimeterai. Diharapkan isu ini selepas ini tidak akan dimainkan mana-mana pihak lagi. Harapnya lah. Bagaimanapun Anwar menyatakan PR mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan dan mengembalikan semula integriti institusi kehakiman.
Presiden Pas sendiri mengakui tidak akan meneruskan rancangan penubuhan kerajaan perpaduan dan menyifatkan UMNO sengaja memperbesarkan hal ini demi kepentingan sendiri.
Tuan Guru Nik Aziz juga sudah menarik balik kepada Timbalan Presiden Pas selari dengan penolakan Kerajaan Perpaduan. Satu yang patut dipuji dalam soal ini segala keputusan yang dibuat melalui perbincangan bersama. Maka lepas ini jangan isu ini menjadi perbualan lagi. Cukup setakat ini dan jangan dibesar-besarkan lagi.
Reda juga akhirnya kemelut yang memberi kekalutan kepada Pakatan Rakyat. UMNO pula menggunakan isu ini untuk kembali mengukuhkan parti yang kian tenat ini. Namun nampaknya usaha itu gagal lagi apabila Pakatan Rakyat menolak untuk berbincang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pula menyifatkan kerajaan masih mampu mentadbir tanpa Kerajaan Perpaduan. Memang kerajaan dapat mentadbir tetapi bagaimana dengan pilihan raya ke-13 nanti. Masih mampukah mereka mendabik dada berani berkata dapat mentadbir. Andaikata jika dapat mentadbir sekalipun mungkin banyak kerusi lagi akan jatuh ke tangan pembangkang. Bagaimanapun itu hanya andaian kerana dalam politik segalanya boleh berubah dalam sekelip mata. Hari ini kita sokong parti ini esok pula sokong parti ini. Itu sudah jadi lumrah dalam politik. Buktinya di depan mata kita sendiri sudah disaksikan pelbagai sarkas dan badut dalam kalangan orang politik. Hari ini masuk parti ini esok parti lain. Jadi buat masa ini kita tidak dapat menduga cuma jika UMNO masih berperangai lama dan berasa selesa mereka akan kecundang.
Rakyat sekarang tidak mahu disajikan makanan pembangunan tetapi apa yang diingini penuhi kehendak mereka, dengar luahan mereka, beri keselesaan kepada mereka. Itu yang mereka mahu. Bagi mereka buat apa ditabur pembangunan mega jika ia hanya memberi manfaat kepada golongan tertentu sahaja sedangkan mereka masih makan nasi putih berlaukkan ikan kering. Projek yang ditabur hanya dikaut kroni-kroni yang terus membuncitkan perut. Rakyat pula terus kurus menagih simpati.
Lebih banyak lagi cara untuk membincangkan masalah rakyat dan tidak semestinya Kerajaan Perpaduan dapat menyelesaikan masalah yang kian bernanah ini. Selagi sikap tamak jawatan dan sentiasa ingin cantas-mencantas letak seribu satu juta formula pun bangsa Melayu tidak akan ke mana. Jadi kepada ahli politik fikirkan kembali apa tujuan kalian masuk politik. Ingin bantu rakyat atau ingin mencari populariti. Jika ingin cari itu jadilah artis. Jika ingin cari harta pula lupakan niat untuk berpolitik kerana pasti anda akan cepat kecundang.
hayati sajak ini dari bekas Perdana Menteri yang sudah tidak kedengaran lagi kini tetapi khusus untuk ahli politik dengarknalah:
Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
No comments:
Post a Comment