Muktamar Pas sudah berakhir dan siapa yang menerajui dan dipilih Pas juga sudah diketahui umum. Namun saya bukan ingin membincangkan soal siapa menang dan siapa kalah tetapi usul yang diluluskan dalam muktamar itu. Sebagai seorang yang terdidik dalam bahasa Melayu dan mengambil bidang linguistik Melayu dan kini masih menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang yang sama merasakan usul PPSMI dimansuhkan merupakan satu kewajaran.
Dalam muktamar tersebut ia juga sudah diluluskan. Perwakilan Pas dari Rembau, Taufik Abdul Ghani ketika membentangkan usul itu berkata parti itu membantah tindakan Kementerian pelajaran yang melengah-lengahkan tuntutan rakyat supaya PPSMI dimansuhkan. Ia turut disokong oleh Anggota Jawatankuasa kerja Pas Pusat yang baru, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Bagi saya ini satu sikap bahawa Pas memang serius untuk menentang dasar yang sebenarnya tidak menguntungkan sebaliknya merugikan kita sendiri.
Dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan ia demi meningkatkan pencapaian negara kerana bahasa Inggeris menjadi medium dalam Sains da Teknologi hanyalah sekadar cakap-cakap orang yang tidak yakin dengan bahasanya sendiri. Dalam erti kata lain tidak ada guna kita merdeka lebih 50 tahun sedangkan minda kita masih terjajah oleh puak yang berpemikiran barat. Tanpa kita sedar, bahasa Melayu ini diinjak, ditekan, dipalingkan daripada rakyatnya sendiri. Usul yang diluluskan ini menjadi titik tolak kepada penentangan PPSMI dan diharap kerajaan buka mata mereka dan mendengar suara-suara akar umbi. Jangan lagi ingin menegak benang yang basah. Fikirkan masa depan rakyat Malaysia. Bahasa Inggeris memang penting tetapi kenapa perlu dikorbankan dua mata pelajaran yang sedia susah untuk ditambah bebannya dengan mengajar dalam bahasa Inggeris.
Tidak terfikirkah mereka selama berbelas tahun belajar bahasa Inggeris dari sekolah rendah sehinggan ke universiti masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Jadi di mana silapnya sebenarnya. Apa yang patut dilakukan ialah mencari puncanya bukan mencipta masalah baru. Punca masalah belum diketemui sudah mahu mencipta masalah baru. Kenapa tidak dirombak cara pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri agar dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Jangan korbankan anak bangsa demi kepentingan politik membuta tuli. Banyak kajian sudah dijalankan yang menunjukkan implikasinya lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Usahlah mempertahankan dasar yang akan melemahkan bahasa Melayu kerana ia dikhuatiri ia akan menjadi tulisan Jawi yang seperti nyawa-nyawa ikan menunggu masa dikafankan.
No comments:
Post a Comment